Gembira kerana kedatangannya disambut baik oleh penyanyi yang pernah popular dengan lagu Biasan dan Seni Berzaman, To’ Ki, pendakwah terkemuka tanah air, Ustaz Ebit Lew akui sebak sebaik sahaja tiba di tempat tinggal penyanyi tesebut.
Menurut Ebit, penyanyi itu hanya sekadar menginap di sebuah pondok kecil di pinggir hutan di Batu 12 Gombak, Selangor.
“Dari jauh To’ki terus sambut saya dan terus peluk saya. Tak sempat nak cakap apa-apa. Macam dah lama kenal.”
Ustaz Ebit berkongsi pengalaman tersebut menerusi sebuah muat naik di laman Instagramnya.
Katanya, beliau tidak hadir dengan tangan kosong kerana turut menyumbangkan beberapa kelengkapan asas buat To’ Ki dan isterinya Sharifah Fairuz.
“Insya-Allah akan saya bantu untuk tangki dan water pump air sungai dan bilik air. Saya hadiahkan juga peti ais dan mesin basuh.”
Untuk rekod, To’ Ki dan isteri telah berteduh di pinggiran hutan tersebut sejak dua tahun lalu. Meskpiun dihujani pelbagai persepsi masyarakat mengenai kehidupannya yang seperti serba kekurangan, namun menurutnya, pondok kecil ini seolah sebuah ‘syurga’ buat dirinya dan isteri.
Disoal berkenaan sumber pendapatan, penyanyi veteran ini mendedahkan beliau hanya bergantung pada hasil daripada persembahan di restoran atau majlis kecil, malah berharap nasibnya dalam industri muzik tempatan itu masih ada dalam usaha memperbaiki taraf kehidupannya kini.
Sumber: Gempak