Ustaz Cerita Pengalaman Menginsafkan Urus Jenazah Bunuh Diri Kerana Kecewa Cinta

Trending

Ustaz Cerita Pengalaman Menginsafkan Urus Jenazah Bunuh Diri Kerana Kecewa Cinta

Putus cinta boleh dikatakan satu lumrah hidup. Hampir semua orang mempunyai pengalaman putus cinta namun kesedihan dan cara setiap individu berdepan dengan kesedihan dan kekecewaan putus cinta tidak sama. Ada yang boleh meneruskan kehidupan dan mencari pasangan lain sekelip mata. Ada pula yang mengalami kemurungan dan lebih teruk lagi, ada yang sanggup mengambil jalan singkat dengan membunuh diri untuk menghentikan rasa kekecewaan diri.

jenazahbunuhdiriSeorang ustaz, Syed Sohleh Syed Jalaluddin telah menceritakan pengalamannya menguruskan jenazah seorang pemuda yang membunuh diri kerana kecewa akibat putus cinta. Apa yang diceritakan ialah satu pengalaman yang menginsafkan. Ikuti cerita ustaz:

Advertisement


SALAH SATU DARIPADA PENGALAMAN YANG SAYA LALUI SENDIRI KETIKA MENGURUSKAN JENAZAH.

AKIBAT CINTA, DIRI MENJADI TETAMU NERAKA.

Perasaan yang sama kembali menerjah ke ruang akal dan geluk hati bersilih ganti. Antara resah gelisah dan gundah seakan berlegar legar tanpa henti. Enggan melayan cemas yang mendatang namun atas tanggungjawab dan amanah, saya bergegas ke sebuah hospital atas satu panggilan dengan perasaan berat hati yang mengiringi. Berbekalkan pengalaman yang terdahulu, saya dapat mengagak yang perasaan sebegini akan berkaitan dengan jenazah yang bakal saya temui dan uruskan sebentar nanti. Saya hanya mampu berdoa agar jangan diuji dengan kesulitan mahupun dipertemukan dengan kejadian yang aneh aneh namun atas dasar manusia siapalah saya yang mampu melawan kudrat ALLAH S.W.T. Bermohon agar terus diberi kekuatan mudahan pertemuan antara saya dan jenazah nanti adalah pertemuan yang ” manis ” sahaja.

123123

Bersama dengan Ustaz Muhd Aidil Zainol Bahar dan tiga orang sahabat, kami segera ke hospital dan terus menuju ke bilik mayat. Menjadi kelaziman bagi saya untuk mengisi dahulu beberapa dokumen penting sebelum urusan dilakukan. Tiba saat yang makin mendebarkan jiwa saya meskipun sudah bertahun berdepan dengan para jenazah. Saya terus berdoa agar diberi kekuatan untuk menyempurnakannya hingga selesai. Dengan lafaz bismillah saya menarik dulang mayat secara perlahan lahan. Saat membuka kain yang menutupi wajahnya, saya terpandang situasi yang amat mengerikan. Lidahnya terjelir dan wajahnya berkerut seakan menahan kesakitan yang amat berat. Terdapat kesan lebam akibat jerutan di lehernya.

Saya cuba mengumpul kekuatan yang ada dan beserta empat sahabat, kami mengangkat jenazah ke atas pengusung. Masing-masing memegang anggota bahagian jenazah namun sekali lagi kami diduga apabila tangan bahu dan kaki terasa amat sakit. ALLAH HU AKHBAR !!! Jenazah amat berat sekali berbanding susuk tubuhnya yang hanya sederhana dan masih berumur lingkungan 20-an. Tidak di situ sahaja, tenaga sasa kami seramai empat orang diuji lagi tatkala menolak pengusung ke tempat mandi. Jarak yang dekat terasa amat jauh dan saya secara peribadi telah sehabis tenaga menolak pengusung begitu juga sahabat yang lain. Walaubagaimanapun saya tidak mengeluh dan di hati hanya berdoa agar ALLAH S.W.T menyempurnakan tugas memandikan arwah.

Kali ini ALLAH S.W.T benar benar ingin memperlihatkan kekuasaanNya. Saat menyucikan jenazah, najis yang keluar dari duburnya amat banyak dan tanpa henti. Saya mengurut perlahan lahan perutnya dengan tujuan ingin mengeluarkan lagi najis yang ada. Setelah memastikan ianya benar benar bersih saya mengiringkan badan arwah untuk meratakan air pada anggota yang lain namun setiap kali tubuhnya digerakkan setiap kali itulah najisnya masih keluar dalam kuantiti yang banyak. Kami meneruskan proses memandikannya hinggalah selesai dan ketika didapati najisnya telah berhenti, maka urusan kafan pun kami mulai. Namun perkara yang sama masih terjadi tatkala kami mula meletakkan jenazah di atas kain kafan. Sekali lagi proses pembersihan dilakukan dan kain kafan perlu ditukar segera. Kali ini saya tekad menyumbat kapas sebanyak yang mungkin disamping doa yang tiada henti di dalam hati mudahan ALLAH S.W.T mengampunkan segala dosa arwah dan meringankan urusan mengkafan. Alhamdulillah najisnya berhenti mengalir dan kami meneruskan proses mengkafan.

Perasaan lega yang bertandang hanya sebentar sahaja. Sekali lagi kami diuji tatkala saat mengkafan jenazah, mengalir darah dari mulut dan hidungnya. Situasi sebegini lumrah kami temui tatkala menguruskan jenazah yang mengalami pendarahan dalaman. Tanpa membuang masa kami menyucikan darah tersebut dengan kapas dan jenazah selamat disembahyangkan hinggalah dikebumikan di tanah perkuburan.

Menyingkap sedikit latar belakang kematian arwah, menurut maklumat yang saya perolehi lelaki tersebut meninggal dunia akibat menggantungkan diri pada kipas syiling di biliknya setelah putus cinta dan ditinggalkan oleh kekasih hati. Kekecewaannya berlarutan apabila mendapat tahu kekasihnya telah berkahwin dengan lelaki lain lantas memaksanya mengambil jalan singkat dengan membunuh diri. Saya turut dimaklumkan bahawa keluarga arwah enggan menguruskan jenazahnya dan setelah beberapa hari berada di bilik mayat, warisnya masih enggan menuntut jenazah arwah sehinggalah pihak hospital bertindak menghubungi saya.

Peristiwa ini masih segar di ingatan saya biarpun telah lama berlaku. Suka saya menyeru dan menitipkan pesan serta memperingati sidang pembaca agar berhati hati dalam bercinta. Carilah cinta ALLAH S.W.T dahulu nescaya ALLAH S.W.T akan mentakdirkan cinta buat kita. Sentiasa berfikiran positif dan mendekatkan diri dengan ALLAH S.W.T agar setiap tindakan kita tidak tersasar ke arah kemungkaran dan jalan yang tidak diredhai. Mudahan pengakhiran kita dalam khusnul khotimah dan jangan disebabkan gagal bercinta terhadap makhluk kita menempah menjadi tetamu di gerbang neraka. Nauzubillahimindzalik.

Mohon kemaafan andai perkongsian saya ini menyinggung beberapa pihak namun tiada sebarang niat mengaibkan sekadar menyuntik kesedaran dan muhasabah agar kita bijak mengatur hidup di landasan ALLAH S.W.T Jazakallah khairan kathira.

” Barangsiapa yang membunuh dirinya sendiri dengan suatu cara yang ada di dunia, niscaya pada hari kiamat, niscaya ia akan disiksa dengan cara seperti itu pula “.
( HR. Bukhari Dan Muslim )

” Barangsiapa bunuh diri dengan menggunakan besi, maka tangannya akan melukai perutnya sendiri dengan besi itu di neraka jahanam dan ia kekal di dalamnya selama-lamanya. Barangsiapa bunuh diri dengan cara minum racun, maka ia akan terus meminumnya di neraka jahanam dan ia kekal di dalamnya selama-lamanya. Dan barangsiapa melompat dari tebing untuk bunuh diri, maka ia akan terus terjatuh di neraka jahanam dan ia kekal di dalamnya selama-lamanya “.
( HR. Muslim : 313 )

Di Ceritakan Oleh : 019-3244969
Ustaz Syed Sohleh Syed Jalaluddin

( Terima Kasih Kepada Ainnur Mustaqim Di Atas Kesempurnaan Artikel Ini )

Sumber: Diri Khalifah

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...