Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus, tampil menjawab dakwaan segelintir wanita yang mendakwa mereka berasa lebih dekat dengan Allah SWT selepas memilih untuk membuka hijab.
Menerusi satu perkongsian di TikTok, beliau menegaskan pandangan sebegitu jelas bercanggah dengan ajaran agama. Katanya, setiap umat Islam wajib mentaati segala perintah Allah SWT dan tidak mungkin seseorang yang mengingkari arahan-Nya boleh dianggap semakin hampir dengan Tuhan.
Ujarnya,
Ini kenyataan orang jahil. Kalau nak dekat dengan Allah, kita kena taat perintah-Nya. Kalau derhaka, kita akan makin jauh, bukan makin dekat.
Bagi menguatkan hujah, Ustaz Azhar turut memetik ayat al-Quran yang menegaskan kewajipan menutup aurat, termasuk perintah kepada Nabi supaya isteri, anak-anak dan wanita beriman memakai jilbab yang menutupi rambut, kepala, tengkuk serta dada.
Di penghujung video, beliau sekali lagi menegaskan dakwaan bahawa membuka hijab boleh menjadikan seseorang lebih dekat dengan Allah adalah tidak benar.
Katanya lagi,
Yang benar, wanita yang menutup aurat lebih dekat dengan Allah kerana ia perintah-Nya, manakala mereka yang mendedahkan aurat sebenarnya tergolong dalam golongan yang derhaka.