Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan pendakwah bebas, Mohd. Rasyiq Mohd. Alwi atau lebih dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq, membayar ganti rugi sebanyak RM2.5 juta kepada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, atas dakwaan memfitnah berhubung isu vaksin Covid-19, memetik Kosmo Online.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan yang membenarkan saman fitnah difailkan oleh Khairy sebagai plaintif terhadap Mohd. Rasyiq selaku defendan.
Selain jumlah ganti rugi, mahkamah turut mengarahkan defendan membayar kos guaman sebanyak RM50,000 kepada plaintif.
Saman tersebut difailkan oleh Khairy pada tahun 2022 selepas mendakwa Ustaz Abu Syafiq menyebarkan fitnah dan maklumat palsu yang kononnya beliau mengelirukan orang ramai tentang status vaksinasinya sendiri.
Dalam perbicaraan sebelum ini, peguam yang mewakili Khairy memaklumkan kepada mahkamah bahawa kenyataan tersebut dimuat naik oleh defendan di media sosial dengan niat memperlekeh dan menyindir Khairy, yang ketika itu memainkan peranan penting dalam menyelaras program vaksinasi Covid-19 negara.
Malah, kenyataan defendan secara jelas merujuk kepada Khairy, termasuk menggunakan nama dan akaun media sosialnya.
Menurut peguam itu lagi, Mohd. Rasyiq tidak menunjukkan rasa kesal terhadap tindakannya, sebaliknya memberikan permohonan maaf bersifat sarkastik selepas menerima dokumen mahkamah.
Khairy mendakwa kenyataan fitnah tersebut bukan sahaja mencemarkan reputasinya secara peribadi, malah turut menjejaskan usaha kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19 ketika itu.
Untuk rekod, prosiding keputusan kes ini pernah ditangguhkan sebelum ini susulan pemergian bapa mentua Khairy, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang juga bekas Perdana Menteri kelima negara, pada 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN).
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.