Jaguh pecut dunia, Usain Bolt disahkan positif COVID-19 selepas seminggu menyambut majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-34 turut dihadiri pemain bola sepak England Raheem Sterling dan beberapa bintang sukan lain.
Majlis itu dikatakan telah dihadiri ramai tetamu dan mereka dilihat tidak memenuhi piawaian ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), termasuk tidak memakai pelitup muka.
Kementerian Kesihatan Jamaica semalam berkata, pemegang rekod dunia lari pecut 100 meter dan 200 meter itu disahkan positif wabak dan sedang mengesan kontak rapat, lapor The Guardian.
Bolt sebelum itu memuat naik video di media sosial, mengatakan sedang menunggu keputusan ujiannya dan menggesa individu yang berhubung rapat dengannya baru-baru ini agar menjalani kuarantin.
“Saya tidak ada simptom jadi saya akan menjalani kuarantin sendiri dan menunggu pengesahan, melihat protokol dan proses kuarantin. Sehingga itu sesiapa yang pernah bertemu dengan saya, anda juga perlu menjalani kuarantin bagi memastikan keadaan selamat.”
Sebagai rekod, kes harian COVID-19 di Jamaica meningkat kepada lebih 60 kes sehari sejak empat hari lalu, berbanding kurang 10 kes beberapa minggu sebelumnya.
Pegawai Kesihatan negara itu menyatakan ia berpunca daripada pembukaan semula sempadan antarabangsa serta sambutan hujung minggu sempena Hari Kemerdekaan negara itu.
Sumber
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook & Twitter Amazingnara untuk mendapatkan berita sensasi dan terkini di seluruh dunia.