Seorang pengasas produk kosmetik terkenal di Kelantan mendakwa anak perempuannya yang berusia 19 tahun menjadi mangsa kekerasan oleh bekas tunangnya dalam satu kejadian yang berlaku pada 21 Februari lalu seperti laporan Harian Metro.
Menurut Fara Sharina Zamari, 37, anak sulung daripada empat beradik berkenaan mengalami lebam dan bengkak di seluruh badan selepas didakwa dipukul, dicekik, ditendang serta diseret oleh lelaki terbabit.

Menceritakan semula kejadian tersebut, Fara Sharina berkata, insiden berkenaan berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika anaknya sedang berbuka puasa di rumah keluarga bekas tunangnya yang berusia 20 tahun dan juga seorang pempengaruh.
Katanya, anaknya pulang ke rumah pada malam yang sama dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya lagi, anaknya pada mulanya menyembunyikan perkara tersebut selama dua hari sebelum akhirnya menceritakan kejadian sebenar.
Tambah Fara Sharina, dia amat terkejut apabila dimaklumkan anaknya dipukul, dicekik dan diseret oleh lelaki berkenaan ketika berada di rumah keluarga lelaki tersebut.
Ini kerana, menurutnya, lelaki itu sebelum ini dilihat berperwatakan baik dan romantik.
Susulan kejadian tersebut, Fara Sharina membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada 24 Februari lalu selepas membawa anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Malah katanya, anaknya sepatutnya mendirikan rumah tangga pada 10 Syawal ini, namun perkahwinan itu dibatalkan selepas insiden tersebut.
Menurutnya lagi, selepas laporan polis dibuat, bekas tunang anaknya dipercayai melarikan diri selama 12 hari sebelum menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Chepa kira-kira enam hari lalu.
Fara Sharina turut memaklumkan bahawa dia sekali lagi membuat laporan polis di IPD Kota Bharu hari ini kerana tidak mahu lelaki berkenaan terus mengganggu anaknya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

