Sejak memegang status seorang ibu, pelakon Uqasha Senrose akui banyak mengubah pandangan dan selera dalam memilih watak dalam drama lakonannya.
Memetik laporan Mstar, Uqasha atau nama lengkapnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen berkata, dia cuba mengurangkan untuk menerima tawaran membabitkan babak percintaan atau ada kaitan dengan kisah curang.
Kata Uqasha, dia mula berasa segan melakonkan babak sedemikian sejak dia mempunyai anak walaupun ia sekadar lakonan.
Mungkin sebab saya dah lama tak berlakon tapi memang ada rasa segan nak pandang muka pelakon lelaki dan ada perasaan malu buat babak bercinta.
Apabila dah jadi seorang ibu, banyak benda saya kena fikirkan. Sekarang ini saya lebih banyak terima tawaran cerita genre kekeluargaan yang mampu beri pengajaran kepada penonton.
Dalam pada itu, pelakon itu memberitahu kehidupannya kini lebih tertumpu kepada menguruskan rumah tangga selepas melahirkan anak pertama iaitu Hawra Uqaira.
Puasa tahun ini saya memang tak ambil tawaran yang mengambil masa panjang. Masa lebih banyak diluangkan menjaga anak.
Sejak bergelar ibu memang bertambah penat. Banyak perkara yang saya perlu belajar kerana ini pengalaman pertama. Tapi rasanya sangat berbaloi melihat anak membesar depan mata.
Pelakon itu turut membataskan penglibatan anaknya dalam mana-mana kempen produk.
Malah, dia juga tidak akan membawa anaknya ke lokasi penggambaran kerana faham akan ragam ketika bekerja di luar rumah.
Anak saya belum usia setahun lagi, jadi rasa memang tidak sesuai untuk bawa ke lokasi.
Ada juga tawaran kempen produk melibatkan anak, tapi saya akan letak batasan. Kalau boleh tak perlu libatkan anak ke lokasi penggambaran sebab risau dia meragam.