Kemesraan dan senyuman yang terukir di wajah Uqasha Senrose ketika bersama Ben Amir di dalam foto yang dimuat naik di Instagram menimbulkan tanda-tanya adakah mereka ini sedang menjalin hubungan istimewa? Rata-rata netizen juga setuju bahawa mereka berdua sangat sepadan bersama.
Menafikan mereka sedang menyulam cinta, Uqasha bagaimanapun mengakui beliau rapat dengan Ben dan dalam proses mengenali hati budi masing-masing.
Paling penting beliau cukup selesa berkawan dengan Ben dan dapat menjadi diri sendiri apabila bersama jejaka itu.
Selama sembilan bulan saya berdiam diri tanpa ada cerita yang mengaitkan saya dengan mana-mana lelaki. Jadi, apa salahnya saya beri peluang kepada diri sendiri untuk kenal orang baharu. Perkara ini berlaku pun bukan dirancang. Saya tidak menjangka kami akan berjumpa semula selepas dia berlakon dengan adik saya, Nelydia.
Kami kemudian berkawan rapat selepas menyedari ada keserasian antara kami. Jujur saya akui sangat selesa berkawan dengan Ben. Ini kerana apabila bersamanya, saya boleh jadi sendiri. Tak perlu nak berhias berlebih-lebih kalau keluar dengannya berbanding sebelum ini. Biasalah, kalau kita sukakan seseorang itu kita akan sentiasa cuba bergaya untuk buat dia tertarik. Namun, apabila dengan Ben, penampilan saya sangat ringkas dan dia tidak merungut pun.
Ditanya adakah beliau akan menerima Ben sebagai teman lelakinya satu hari nanti, Uqasha hanya mampu tersenyum dan meminta mendoakan yang baik-baik buat mereka berdua.