Aplikasi media sosial milik China, TikTok, telah mendominasi pasaran kandungan video pendek sejak dilancarkan pada 2016. Namun kini, muncul satu pencabar baharu dikenali sebagai UpScrolled.
UpScrolled ialah aplikasi media sosial yang dibangunkan di Australia oleh pembangun Palestin-Australia, Isaam Hizaji. Ia direka sebagai alternatif bebas penapisan kepada platform arus perdana dan semakin mendapat perhatian kerana paparan kandungannya yang telus, tidak bergantung kepada algoritma kompleks, serta memberi ruang keterlihatan kepada pelbagai suara — khususnya kandungan pro-Palestin.
Menurut laporan Forbes, pelayan UpScrolled baru-baru ini dilaporkan mengalami gangguan akibat lonjakan besar muat turun pengguna baharu, ketika aplikasi itu memanfaatkan rasa tidak puas hati pengguna terhadap TikTok.
Di Amerika Syarikat, UpScrolled kini menjadi platform pilihan baharu bagi pengguna yang menuduh TikTok menapis kandungan anti-Trump, susulan pemisahan operasi TikTok di AS kepada entiti baharu yang dimiliki sekutu kepada Presiden Donald Trump.
Dari segi fungsi, UpScrolled beroperasi hampir sama seperti TikTok atau Instagram sebuah aplikasi media sosial yang memfokuskan kandungan visual dan video pendek.

Menurut laman web rasminya, aplikasi ini menjanjikan ruang untuk pengguna bersuara secara bebas tanpa perlu “bermain permainan algoritma” atau “dihukum kerana berkata benar”.
Ini bermakna pengguna mempunyai lebih kebebasan untuk mengekspresikan diri serta kawalan yang lebih besar terhadap jenis kandungan yang dipaparkan dalam suapan (feed) mereka. Walaupun masih terdapat algoritma, ia dikatakan jauh lebih ringkas dan kurang manipulatif berbanding platform lain.
Antara ciri lain yang menjadi tarikan UpScrolled ialah perlindungan data peribadi yang lebih telus, kawalan suapan secara kronologi dan dipacu pengguna, serta fokus kepada pengguna biasa, pencipta kandungan dan aktivis bukan pengiklan.
Buat masa ini, UpScrolled dilihat sebagai alternatif yang lebih baik kepada TikTok bagi mereka yang mahukan kebebasan daripada penapisan serta kawalan penuh terhadap kandungan yang ditonton dan diterbitkan.
Rakyat Malaysia mula daftar, nama media pula ‘diambil’
Di Malaysia, ramai pengguna sudah mula mendaftar akaun UpScrolled ketika gelombang popularitinya masih hangat.
Hasil semakan mendapati terdapat beberapa pengguna tempatan yang menggunakan nama media sebagai nama pengguna mereka.

Sebagai contoh, seorang pengguna bernama Nur Fazura menggunakan nama pengguna @utusantvofficial, manakala seorang lagi pengguna bernama Dewi menggunakan @Mstaronline sebagai nama akaun.
Sehubungan itu, pengguna UpScrolled disarankan agar menyemak semula akaun media yang diikuti di platform tersebut. Ini kerana walaupun kebanyakan media arus perdana Malaysia sudah menyertai UpScrolled, tidak semua akaun yang menggunakan nama media merupakan akaun rasmi.
Selain itu, kami kongsikan artikel trendin gyang lain pada pautan di bawah.
