Undi 18: Hari Bersejarah Buat Malaysia

Trending

Undi 18: Hari Bersejarah Buat Malaysia

Had umur mengundi di Malaysia

Di Malaysia, semua warganegara yang mencapai umur 21 tahun dan bermastautin dalam sesuatu bahagian pilihan raya pada tarikh kelayakan adalah berhak mengundi dalam bahagian pilihan raya itu bagi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Perlembagaan menetapkan umur 21 tahun sebagai hak kelayakan mengundi bagi mereka yang layak di sisi undang-undang. Negara telah melalui 14 Pilihan Raya Umum (PRU) dari PRU-1 (1959) hingga PRU-14.

Advertisement

Sebelum 1970-an, had layak mengundi di seluruh negara demokrasi ialah 21 tahun ke atas.

Penurunan had umur mengundi di luar negara

Langkah menurunkan had umur kepada 18 tahun bermula selepas 1970-an di United Kingdom (1969/70), Eropah Barat (1970-an), Amerika Syarikat (1971), Kanada, Jerman (1972), Australia, Perancis (1974), diikuti India, Pakistan, New Zealand dan semua negara di Amerika Latin, Afrika dan kebanyakan di Asia pada 1980-an serta Jepun negara yang terakhir pada 2016.

Manakala dalam kalangan negara Asean pula, rakyat Indonesia dan Timor Leste ialah pengundi termuda, iaitu 17 tahun. Kecuali Malaysia dan Singapura.

Syed Saddiq Cadang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 

Selepas lebih 60 tahun mencapai kemerdekaan dan 14 kali PRU, sampai masanya dasar had kelayakan umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun, sekali gus meletakkan Malaysia pada tahap sama dengan amalan semua negara demokrasi maju dan negara lain.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mencadangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 mengenai cadangan had umur mengundi diturunkan dari 21 kepada 18 tahun.

Cadangan pindaan itu akan membolehkan lebih ramai warganegara Malaysia layak mengundi dan memilih kerajaan selaras dengan sistem demokrasi yang progresif.

Hari bersejarah buat Malaysia 

Sejarah baharu tercipta semalam untuk Malaysia apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

RUU yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, itu diluluskan genap setahun selepas Dewan Rakyat bersidang buat pertama kali di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan di Dewan Rakyat, diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan selepas bacaan kali ketiga dan diterima tanpa pindaan menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan 211 Ahli Parlimen bersetuju, manakala tiada yang membangkang dan tidak mengundi.

RUU kemukakan cadangan pindaan takrif ‘tarikh kelayakan’

Pada awalnya, pindaan hanya untuk menurunkan umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, namun atas desakan pembangkang, kerajaan bersetuju pendaftaran dibuat secara automatik apabila usia mencecah 18 tahun.

Siapa yang layak mengundi?

Kerajaan bersetuju melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik, justeru membolehkan semua warganegara Malaysia apabila berumur 18 tahun layak mendapat hak mengundi.

Mereka tidak lagi perlu memohon untuk didaftar sebagai pemilih dan memudahkan proses kerana rakyat Malaysia memang sudah berdaftar apabila berumur 12 tahun.

Kebaikkan mengundi seawal umur 18 tahun

 

  • Remaja boleh ambil bahagian dalam proses demokrasi memilih kerajaan dan wakil rakyat.
  • Generasi remaja diberi peluang memupuk kematangan politik lebih awal dan tidak perlu menunggu sehingga mencecah 21 tahun untuk terbabit demokrasi berperwakilan.
  • Mereka akan lebih bersifat matang apabila terlibat dalam urusan politik.
  • Aset kepada parti politik untuk mendapat undi dan sokongan.
  • Beri peluang kepada generasi muda untuk sama-sama menentukan masa hadapan negara.
  • Mereka sudah matang dan boleh mendirikan rumah tangga, sewajarnya diberi hak mengundi untuk memilih wakil dan menentukan kerajaan.

Seramai 421,706 calon menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu dan bermakna kira-kira 400,000 mereka yang mencapai usia 18 tahun pada tahun ini layak menjadi pemilih secara automatik.

Selain itu, mereka berusia 17 tahun dan menduduki SPM tahun ini akan layak sebagai pemilih tahun depan. Begitu juga sebahagian daripada mereka yang berusia 15 dan 16 tahun layak mengundi pada PRU-15.

Jadi, kira-kira 400,000 pelajar menduduki SPM setiap tahun. Pada PRU-15 akan datang, lebih sejuta pengundi baharu daripada kalangan remaja berusia bawah 21 tahun layak mengundi pada 2023.

 

Apa pandangan anda mengenai perkara ini? Mungkin pada masa akan datang negara kita semua akan mempunyai perdana menteri yang berusia 20-an atau 30-an.

Sumber Berita & Rujukan :-

https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2018/07/446925/umur-18-tahun-wajar-dapat-hak-mengundi

https://www.bharian.com.my/kolumnis/2019/07/584646/apabila-18-tahun-boleh-mengundi-jadi-calon

https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2019/07/585514/bersediakah-spr-laksana-daftar-undi-automatik

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/07/585799/hari-bersejarah-buat-malaysia

 

 

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...