UMNO Perlu Berubah, Pertimbang Buka Keahlian Untuk Semua Kaum – Khairy Jamaluddin

Trending

UMNO Perlu Berubah, Pertimbang Buka Keahlian Untuk Semua Kaum – Khairy Jamaluddin

khairiKami jadi tak sedar diri, mabuk dengan air minuman sendiri dan kami terbawa-bawa dengan perasaan, ucap Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Bercakap pada Channel News Asia di pejabatnya di tingkat 28, Bangunan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, lelaki 42 tahun itu tampak kesal apabila ditanya mengenai apakah yang sepatunya telah dilakukan untuk mengelakkan kekalahan 9 Mei, yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa persekutuan buat pertama kali sejak kemerdekaan negara lebih enam dekad lampau.

Advertisement

Kami tidak mahu menanggung akibat. Tiada siapa, selepas Muhyiddin disingkirkan, selepas Shafie disingkirkan…tiada siapa mahu mengakui yang kami ada masalah. Itu kesilapan terburuk kami.

Khairy berkata dia berharap dia telah menegur pemimpin parti bahawa ahli di peringkat akar umbi sudah menolak UMNO dan apa sebenarnya telah berlaku, setelah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak memecat bekas timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naib presiden Datuk Shafie Apdal dari Kabinet setelah mereka berdua secara terbuka mengkritik Najib mengenai 1MDB, satu dana negara di mana wang berjumlah berbilion dolar telah hilang.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, dia gagal menyatakan kebenaran kerana ingin melindungi Najib, dan dia perlu menerima hakikat itu untuk sepanjang hidupnya. Pihak berkuasa Malaysia telah menyenarai hitam Najib dan isterinya dari meninggalkan negara ini, manakala laporan tersebar bahawa kerajaan kini membuka semula penyiasatan ke atas skandal graf membabitkan wang berjumlah berbilion dolar di 1MDB.

Adakah terdapat isyarat (rakyat menolak BN)? Ya, isyaratnya jelas tapi kami jadi buta untuk melihat.

Ini tidak patut berlaku lagi, kami tidak akan benarkan pemimpin UMNO menafikan realiti sebenar dan kami akan mempersoalkan dengan tegas. Jika kami teruskan dengan minda feudal bahawa pemimpin perlu dilindungi dari kebenaran (yang menyakitkan), UMNO akan pupus.

Kini dihukum orang ramai, Khairy hampir gagal mempertahankan kerusi Parlimennya di Rembau. Negeri Sembilan, negeri asalnya, telah jatuh ke tangan Pakatan Harapan, gabungan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Khairy menyalahkan kepimpinan Najib sebagai punca kekalahan teruk BN dalam pilihan raya umum, namun begitu, kekalahan itu sebenarnya ialah tanggungjawab bersama. BN dan UMNO perlu menerima hakikat bahawa mereka telah ditolak secara sistemik oleh orang ramai jika tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama.

Pada 2008 apabila BN kehilangan sokongan majoriti dua pertiga, bapa mertua Khairy, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi digantikan oleh Najib. Tapi Khairy berkata, cara parti beroperasi tidak berubah.

Mereka fikir dengan mengubah ketua, semuanya akan berubah juga. Kami tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama.

Bukan sahaja penolakan Najib, tetapi penolakan secara sistemik UMNO dan BN  yang merupakan perjuangan kami. Jika kami terima semua ini, kami boleh membina semula parti.

Khairy berkata terdapat empat perkara yang perlu dilakukan dalam masa setahun dua ini untuk menunjukkan bahawa mereka ialah ‘alternatif yang berkredibiliti’ terhadap kerajaan PH dalam masa lima tahun selepas ini.

Untuk permulaan, UMNO dan BN perlu memastikan jumlah kerusi yang dimiliki kekal. Buat masa ini BN mempunyai 78 ahli parlimen dan 54 dari kerusi itu ialah milik UMNO yang merupakan parti komponen utama.

Kedua, UMNO perlu mempertahankan diri dari sebarang percubaan pihak PH untuk membatalkan pendaftaran parti mereka setelah gagal melaksanakan pilihan raya parti.

Ketiga, BN perlu belajar untuk menjadi pembangkang yang kuat dan berkredibiliti dalam parlimen untuk memastikan kerajaan berlaku adil dan mengikut peraturan.

Akhir sekali, mereka perlu berusaha mengubah struktur parti untuk mencerminkan kepada orang ramai aspirasi dalam parti yang telah berubah.

UMNO telah mengumumkan pada Isnin yang ia sedang menubuhkan satu pasukan untuk melaksanakan perubahan dalam parti, dan Khairy berkata semua dalam parti perlu memikul tanggungjawab atas kekalahan besar mereka dan mereka perlu mengadakan perancangan untuk memperbaiki masalah parti.

Disebabkan undi orang Melayu sudah berkurang terhadap UMNO dan BN, Khairy berkata sudah tiba masanya untuk UMNO meneliti semula strukturnya, termasuk membuka keahlian buat semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

Parti komponen BN seperti MCA dan MIC juga gagal teruk dalam pilihanraya ke 14, manakala parti komponen Sarawak mungkin akan meninggalkan Barisan Nasional.

Kami perlu mempertimbangkan dengan serius semua pilihan yang ada. Model bagaimana yang kami mahukan? Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau Pertubuhan Kebangsaan Rakyat Malaysia Bersatu? Apakah motif kewujudan kami?

Semua persoalan ini harus dirungkaikan. Kami perlu berubah. Semuanya sedang dipertimbangkan.

Pemimpin pembangkang yang sebelum ini dipenjarakan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan hari ini, dan BN sebagai pembangkang kini perlu bersedia menghadapi Anwar dan Mahathir apabila parlimen bersidang dalam masa terdekat.

Kami perlu bersedia. Kami menghadapi dua nama besar, dua gergasi dunia politik.

Rakyat Malaysia telah memilih dua gergasi ini untuk memimpin kita, cabaran BN ialah untuk memastikan kami dapat memainkan peranan untuk memastikan pemeriksaan dan keseimbangan dalam keputusan kerajaan.

Saya seperti semut menentang dua gergasi, dan saya perlu pastikan saya berfikiran dan bergerak pantas dalam masa lima tahun selepas ini.

Diterjemah untuk amazingnara.com dari Channel News Asia.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...