December 12th, 2016

Semalam, pelakon yang popular dengan drama Patahnya Sebelah Sayap, Ummi Nazeera akhirnya memberitahu beliau sudah bertunang selepas beberapa foto majlis pertunangannya tersebar di media sosial.

Ummi bertunang dengan seorang jejak yang hanya ingin dikenali sebagai Mr. I yang merupakan seorang doktor di kediaman keluarganya pada jam 2.30 petang semalam. Difahamkan, Mr. I adalah pilihan keluarga Ummi.

Menurut Ummi, beliau tidak berniat untuk menyorokkan perkara itu daripada peminat cuma keluarganya mahukan sedikit privasi.

Bukan bertujuan mahu menyorokkan hari bahagia ini. Sebaliknya, keluarga mahukan sebuah majlis ringkas dan tertutup yang dihadiri oleh keluarga rapat sahaja. Lantaran itu, saya harus menghormati permintaan mereka yang menginginkan ruang privasi.

Sejujurnya, kami tidak pernah bertemu atau bertentang mata sebelum ini. Saya hanya mengenali Mr. I pada 31 Januari lalu apabila dia menghantar pesanan untuk berkenalan menerusi aplikasi WhatsApp. Sejak itu, kami hanya berkomunikasi menerusi mesej tanpa bercakap atau mendengar suara masing-masing di talian telefon.

Tambah Ummi, beliau terpikat dengan sikap berani Mr. I yang bertemu dengan ibunya untuk lebih mengenali Ummi dan keluar bersama.

Apabila memasuki sebulan setengah perkenalan menerusi mesej, dia akhirnya menelefon saya buat kali pertama sekali gus meluah perasaan untuk bertemu.  Saya mengatakan bahawa dia boleh berjumpa saya dengan bersyarat dia kena menemui ibu saya (Datuk Seri Maziah Musa, 52) terlebih dulu.

Dia cukup berani apabila datang ke rumah keluarga kami untuk berkenalan sambil menikmati makan malam bersama ibu saya. Itu adalah kali pertama kami bertemu. Dan keberanian yang dimilikinya itu menyebabkan saya membuat kesimpulan bahawa dia mampu menjadi ketua keluarga kepada saya.

Hubungan mereka direstui oleh ibu Ummi. Selepas tiga bulan mengenali hati budi masing-masing, Mr. I membuat keputusan untuk menghantar rombongan merisik.  Majlis merisik diadakan dua minggu selepas Hari Raya Aidilfitri yang lalu. Atas persetujuan kedua-dua belah keluarga, mereka akhirnya mengikat tali pertunangan pada 11 Disember (semalam).

Sumber Berita : Utusan Online


Comments are closed.

Loading...