Selepas hampir 12 tahun terperap, filem kontroversi yang dinantikan ramai iaitu Dukun akan menghantui penonton bermula hari ini, selepas mendapat kelulusan untuk ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia.
Ramai yang sudah tidak sabar untuk menonton lakonan hebat Datin Paduka Umie Aida yang membawakan watak utama sebagai Diana ataupun Mona Fendy.
Walaubagaimanapun, ada sesetengah pihak mempertikaikan jalan cerita filem tersebut yang didakwa boleh memesongkan akidah seseorang dan memberikan impak negatif, kerana klasifikasi yang diberikan kepada Dukun dimana ia boleh ditonton oleh penonton di bawah 18 tahun.
Tentu sekali isu tersebut membuatkan Umie merasa sedih kerana ada pihak lebih gemar untuk menghukum sesebuah filem tanpa menontonnya terlebih dahulu.
Adakah filem ini menyuntik semangat atau melahirkan semangat anda untuk menjadi dukun? Jawapannya tidak. Bila orang menonton nanti mereka akan faham.
Tapi bila kata-kata keluar dari orang industri sendiri tentang filem ini mungkin larikan akidah, mungkin lahirkan lebih ramai lagi dukun, saya sangat sedih kerana mereka bercakap tanpa menonton filem ini. Saya lebih sedih kalau yang bercakap itu adalah kawan saya.
Menurut Umie, Dukun sebenarnya memaparkan kisah yang boleh dijadikan teladan dan memberikan kesedaran buat kita semua.
Filem ini ada pengajarannya. Ia memperlihatkan bagaimana bila seorang manusia inginkan sesuatu tetapi tidak meminta kepada ALLAH SWT. Sebaliknya dia minta sesuatu dari dukun dan bila minta pada tempat yang salah, itulah balasan yang diterima dan itulah jalan cerita filem ini.
Filem yang diarahkan oleh Dain Said ini turut dibintangi oleh beberapa pelakon berbakat besar seperti Faizal Hussein, Elyana Emrizal, Bront Palarae, Namron, Soffi Jikan, Hasnul Rahmat dan Adlin Aman Ramlie.