Ular bersaiz gergasi ataupun jenis Anaconda mungkin sering ditemui di kawasan hutan Amazon di Brazil misalnya.
Namun, tular di media sosial semalam apabila dua ekor bersaiz gergasi telah ditemui di negeri Terengganu, dipercayai jenis ular sawa batik (Phyton Reticulatus).
Perkara tersebut dimaklumkan Angkatan Pertahanan Awam (APA) menerusi akaun rasmi Twitter mereka di mana kedua-dua ular gergasi itu dianggarkan seberat 250kg dan lebih 100kg.
Maklum agensi itu lagi, ular tersebut ditemui di daerah Marang dan telah mengejutkan beberapa pekerja di sebuah tapak pembinaan di Kampung Gong Nangka.
***Penemuan 2 Ekor Anaconda di Terengganu
Penemuan dua ekor ular sawa batik, masing-masing seberat 250 kilogram (kg) dan lebih 100kg, mengejutkan beberapa pekerja di sebuah tapak pembinaan di Kampung Gong Nangka. pic.twitter.com/cP2VoSsaA4
— Official Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (@APMtwiter) December 9, 2021
Difahamkan, ular-ular itu ditemui di dalam tanah yang sedang dikorek dan dibersihkan.
Menurut APA, kawasan tersebut disifatkan sebagai sarang reptilia tersebut berikutan penemuan keduanya adalah tidak jauh daripada satu sama lain.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen berpendapat bahawa manusia yang bertindak mencerobohi tempat habitat mereka dan mengharapkan ular-ular tersebut diletakkan di habitat yang sama.
“Kesiannya ular-ular itu. Rakusnya manusia tarah habitat haiwan macam ini. Tarah sana sini pastu nanti bila haiwan-haiwan lari pergi kawasan manusia untuk cari tempat perlindungan, kita pandai pulak nak marah. Walhak kita yang mula menceroboh.” tulis seorang netizen.
Difahamkan, kedua-dua ular ini akan dipindahkan ke Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman, Terengganu.