Dalam perjalanan menuju misi kemanusiaan genting ke Gaza, pelakon dan aktivis, Ardell Aryana tetap tabah menerima berita mengejutkan mengenai ibunya, Sawiyah Abdullah, yang perlu menjalani pembedahan memotong kedua-dua kaki akibat komplikasi diabetes kronik.
Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, mengakui perkhabaran itu amat berat untuk ditelan, namun disifatkan tidak sebanding dengan dugaan rakyat Palestin yang telah lama menderita.
Saya punya sedih Allah uji saya dengan emak saya. Ketika saya di tengah laut ini, saya dapat keputusan daripada doktor mengatakan kondisi emak saya sangat tak baik.
Ujian saya tentang mak saya, tapi ujian saudara kita (di Gaza) bukan tentang keluarga, tapi semuanya.
Isteri kepada pelakon Nadzmi Adhwa itu merupakan antara 15 rakyat Malaysia termasuk penyanyi Zizi Kirana yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF), bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dijarah rejim Zionis.
Sejak berlepas dari Malaysia hujung bulan lalu, Ardell kerap berkongsi perkembangan pelayaran melibatkan 38 kapal dari seluruh dunia. Rombongan berkenaan belayar dari Sicily, Itali menuju ke perairan Mediterranean dan dijangka tiba di Gaza dalam tempoh sekitar 10 hari lagi.
Beberapa hari lalu, Ardell turut meluahkan rasa syukur selepas berjaya melepasi semua peringkat saringan serta latihan yang diwajibkan sepanjang misi berbahaya tersebut.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.