Baru-baru ini ujian bagi menguji kecekapan dan kemahiran mengenai Ninja telah diadakan di Tokyo, Jepun. Ujian ini telah diadakan buat pertama sekali di kuil terkenal Zojoji bagi memperingati akan ulang tahun ke-10 ujian ini. Sebelum ini, ujian ini hanya diadakan di Koka, Shiga yang merupakan daerah yang terkenal dengan sejarah Ninja pada suatu ketika dahulu.
Kuil Zojoji adalah merupakan salah satu dari dua kuil keluarga Shogun terkenal Tokunaga. Puak Koga (bacaan kanji Jepun juga berbunyi “Koka”) adalah merupakan sebuah kumpulan ninja yang terkenal dahulu dan dikatakan banyak membantu Shogun Tokugawa dalam memerangi pihak musuh. Ini adalah salah satu sebab mengapa pihak berkuasa di Koka, Shiga berusaha keras bagi mengekalkan bandar itu dengan warisan ninja.
Ujian ini adalah untuk menilai sendiri pengetahuan mereka yang menduduki ujian itu mengenai puak Koga termasuk juga aktiviti-aktiviti yang telah mereka jalankan di antara abad ke-15 dan 16. Ujian yang berlangsung selama 30 minit ini terdiri daripada 50 soalan pelbagai pilihan jawapan. 10 markah bonus akan diberikan bagi mereka yang mengenakan pakaian ninja dan berjaya memperlihatkan gaya balingan Shuriken yang cekap.
60 markah diperlukan bagi lulus akan ujian tersebut. Bagi mereka yang tidak menduduki ujian itu, mereka dapat berhibur dengan acara-acara yang berkaitan dengan ninja yang diadakan diluar dewan ujian. 3,000 Yen diperlukan bagi mereka yang ingin menduduki ujian ini dan seramai lebih dari 200 orang dilaporkan menduduki ujian.
