Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed bercadang mahu memperkenalkan kursus dan subjek berkaitan integriti, etika, rasuah dan tadbir urus di peringkat ijazah di Universiti Mara Malaysia (UiTM) sebagai perancangan pasca tamat kontraknya di badan penguatkuasa itu.
Bercakap kepada akhbar Sinar Harian dalam satu temubual eksklusif, beliau yang dilantik sebagai perunding undang-undang di IPT itu akui bersedia berkongsi pengalaman, pengetahuan dan kemahiran serta bersedia memberikan sumbangan dalam kapasitinya.
“Setakat ini saya sudah mengadakan perbincangan dengan pihak UiTM untuk menjadikan ia sebagai pusat pengajian tinggi yang akan menerajui subjek berkaitan integriti, etika, rasuah dan tadbir urus .
“Dalam konteks ini saya akan membantu UiTM membina kapasiti tersebut,” katanya, lapor FMT
Abu Kassim bagaimanapun berkata semua itu masih dalam perbincangan dan idea memulakan pengajian yang dirancang di peringkat ijazah wujud selepas melihat keperluannya menjadi teras kepada peringkat yang lebih tinggi.
“Konsep pengajian peringkat sarjana (Master) telahpun dibuat di UKM iaitu master pengajian pencegahan rasuah.
“Tetapi di UiTM saya bercadang ke arah itu (ijazah). Terpulang kepada UiTM untuk memulakannya di peringkat ijazah,” katanya.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa pada 23 Jun lalu mengumumkan perkhidmatan Abu Kassim yang sepatutnya berakhir pada 4 Disember 2018, dipercepatkan kepada 1 Ogos 2016.
Menurut Abu Kassim, antara sebab beliau memilih untuk menamatkan perkhidmatan awal adalah kerana menerima tawaran daripada International Anti-Corruption Academy (IACA) sebagai pakar jemputan di Universiti Pencegahan Rasuah di Austria.
Abu Kassim juga ditanya sebab memilih UiTM sebagai destinasi akademiknya, beliau berkata sebagai sebuah universiti terbesar dengan begitu banyak cawangan, beliau yakin kebanyakkan mereka ini juga terlibat dalam sektor yang cukup besar justeru ia boleh memberi impak yang lebih besar.
“Semuanya terpulang kepada UiTM. Kalau kehadiran saya di UiTM boleh menambah baik dan membantu mereka, bukan sahaja dari segi pengajaran, bahkan khidmat rundingan kepada pihak universiti.
“Mungkin akan menjadikan universiti sebagai pusat untuk memberi khidmat rundingan sama kepada institusi-institusi lain,” jelas beliau.