Pelakon, Shukri Yahaya akui penampilan isterinya, Tya Adnan yang berniqab sejak Februari lalu membawa aura yang positif terhadap rumah tangga mereka.
Shukri atau nama lengkapnya, Mohd Shukri Yahaya berkata perubahan yang dilakukan oleh isterinya itu bukan hanya pada imej bahkan secara tidak langsung menyuntik semangat menggandakan amalan harian termasuk membaca al-Quran.
Sejujurnya Tya membawa satu aura atau semangat yang sangat positif kepada diri saya sejak dulu sampai sekarang, lebih-lebih lagi selepas berniqab.
Suasana dalam rumah tangga mungkin sama sahaja, cuma selepas penampilannya berubah, amalan yang kami lakukan juga bertambah antaranya kami semakin kerap mengaji al-Quran berdua.
Menurut HibGlam, pelakon itu meluahkan rasa bersyukur melihat perubahan insan kesayangannya selain memanjatkan doa agar Tya terus istiqamah.
Tiada apa yang perlu diperkatakan mengenai pilihannya berniqab kerana saya sendiri gembira dan bersyukur isteri semakin menjaga aurat.
Saya cuma titipkan nasihat supaya jangan mengalah kerana pilihan berniqab yang dilakukan sudah betul.
Sekadar info, Tya atau Siti Nurfatihah Adnan yang baru pulang dari mengerjakan umrah meraih perhatian ramai apabila dia tampil berniqab.