Makin langsing, pelakon dan juga personaliti TV Sherry Alhadad yang ditemui ketika sidang media Big Stage 2022 kelihatan ceria dan sihat walafiat.
Ditanyakan mengenai tips untuk dia kelihatan lebih ramping dan kurus daripada dahulu, Sherry berkata ianya berlaku secara semulajadi iaitu dengan mengamalkan cara hidup sihat seperti bersenam dan menjaga pemakanan.
Cerita Sherry, dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak 16 hingga 18 kilogram dalam tempoh tiga bulan. Malah, Sherry turut berkongsikan rutin senaman yang diamalkan olehnya di media sosial Instagram.
Ujar pelakon drama The Maid ini lagi, dia kadang-kadang berasa bimbang apabila berkongsikan perjalanan menurunkan berat badan kerana enggan dikatakan riak dan menunjuk-nunjuk.
Ditanya adakah dia ingin melakukan pembedahan seperti prosedur bariatrik untuk mendapatkan bentuk tubuh idaman dengan lebih cepat, Sherry berkata dia belum terfikir ke arah itu.
Saya percaya Allah S.W.T memberikan kita usus panjang itu bersebab, jadi buat masa ini saya menggunakan alternatif lain. Mungkin itu adalah alternatif terakhir saya kerana belum terfikir lagi.
Begitupun, ia tidak bermakna saya menghakimi atau mengata mana-mana pihak. Ia hanyalah sekadar pandangan peribadi untuk digunakan pada tubuh badan sendiri.
Perkembangan terbaru, Sherry dilaporkan akan mengemudi program Big Stage 2022 bersama-sama Alif Satar yang bakal bersiaran bermula 6 Februari nanti.
Program nyanyian Big Stage 2022 bakal menyaksikan persaingan bakat-bakat muda baru seperti Aisha Retno, Lia Aziz, Sofiaa Marieylla, Tuah Adzmi dan ramai lagi.