Tunku Tun Aminah Bakal Langsung Perkahwinan, Dennis Muhammad Pilihan Puteri Tunggal Sultan Johor.

Trending

Tunku Tun Aminah Bakal Langsung Perkahwinan, Dennis Muhammad Pilihan Puteri Tunggal Sultan Johor.

Puteri Tunggal Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim bakal melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihan hatinya, Dennis Muhammad Abdullah di Istana Bukit Serene pada 14 Ogos ini.

Advertisement

Menurut Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Abd Rahim Ramli, istiadat bagi meletak kerja akan diadakan pada 8 Ogos ini dengan menaikkan bendera istiadat kerajaan menandakan permulaan Istiadat Perkahwinan Diraja.

Istiadat pertunangan akan diadakam jam 10 pagi pada 14 Ogos diikuti dengan istiadat nikah manakala persandingan pula akan diadakan pada 8 malam di Bilik Singgahsana Istana Besar.

“Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah memberi perkenan untuk Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah melangsungkan perkahwinannya.

“Istiadat perkahwinan pasangan pengantin Diraja akan dilaksanakan dengan penuh istiadat Melayu dan budaya Istana Johor.” katanya sebagaimana lapor BH Online.

Dalam pada itu, Sultan Johor berkenan mewakilkan Mufti Johor, Datuk Muhammad Tahrir Shamsuddin sebagai wali.

Difahamkan, majlis perkahwinan akan dilangsungkan secara tertutup.

Memetik laporan Bernama, Dennis Muhammad Abdullah atau nama asalnya Dennis Verbaas merupakan jejaka dari Belanda.

Dennis Muhammad dilahirkan pada 1 Mei 1989 di Lisse, sebuah bandar berdekatan dengan Amsterdam, Belanda dan merupakan anak kedua dari tiga beradik.

Dennis, yang juga anak kepada pasangan Martin dan Henriette Varbaas, menerima pendidikan di Floretti College Hilego The Netherlands dan kemudian meneruskan pembelajaran di ROC Leiden, The Netherlands dalam bidang kejuruteraan mekanikal.

Bagaimanapun, Dennis bukannya seorang yang asing buat Tunku Tun Aminah.

Dennis, yang juga gemarkan bola sepak, pernah bekerja dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor sebagai Pengurus JDT Concept Store dan Cafe. Kemudiannya bekerja sebagai Pengurus Pemasaran Kelab Bola Sepak Tampines Rovers di Singapura.

Dennis memeluk Islam pada 31 Mei 2015 di Pejabat Kadi Johor Bahru dan dipimpin oleh pegawai agama bagi mempelajari Islam termasuk solat, berpuasa Ramadan, pengajianal-Quran, akhlak dan tulisan jawi selain dididik dalam Bahasa Melayu, budaya, etika serta protokol istana.

“Mulai tahun ini, Dennis Muhammad diasuh dan dipimpin oleh keluarga angkat yang diperkenan tuanku. Jadual pelajaran agama ditambah dan prestasi beliau sentiasa dipantau oleh panel guru dan pendidik Jabatan Agama sehingga mencapai taraf yang diperkenankan.

Dennis Muhammad lulus cemerlang dalam ujian tulisan, lisan dan praktikal,” kata Abdul Rahim.

Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada sebarang foto Dennis yang ditemui.

Sumber : BH Online & Kosmo

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...