Baru-baru ini tular di media sosial mengenai sebuah video penjual jagung yang dihalau secara kasar oleh penguatkuasa di Selayang. Tindakan kasar yang ditunjukkan oleh pihak penguatkuasa menjadi bualan hangat netizen yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan tindakan yang diambil itu.
Ramai yang membuat pelbagai spekulasi mengenai insiden terbabit sehinggakan anak kepada penjual jagung tersebut tampil memberitahu cerita sebenar. Menurutnya, ayahnya pernah beberapa kali membuat permohonan lesen tetapi tidak diluluskan mungkin disebabkan beberapa faktor.
Mempunyai masalah penglihatan
Anaknya turut memberitahu ayahnya mempunyai masalah kesihatan yang menyebabkan penglihatannya kini terbatas. Tambahnya lagi, semasa insiden tersebut pihak penguatkuasa telah menuduh ayahnya sengaja berlakon buta walaupun telah ditunjukkan surat doktor sebagai bukti.
“Sedangkan ayah saya memang ada bukti surat doktor dan memang tidak dapat diubati . Jagung inilah mata pencarian untuk kami, saya masih belajar dan belum bekerja berasa sangat kecewa kerana belum mampu membantu ayah saya.”
Bantuan dari Ustaz Ebit Lew
Susulan kejadian yang tular ini, penceramah terkenal Ustaz Ebit Lew telah tampil memberikan bantuan kepada peniaga ini. Bagi meringankan beban peniaga ini, dia turut memberikan bantuan RM1,000 untuk membantunya. Untuk makluman, peniaga ini rabun dengan 90 peratus penglihatan tidak lagi nampak dan hanya boleh nampak bayang-bayang sahaja.
“Kasihan rasanya. Berniaga jagung disitu dah 5 tahun. Dari dulu ini je kerjanya cuma di tempat lain. Anak semua masih sekolah. 5 masih belajar lagi. Semua rajin-rajin. 2 orang di universiti. Ada anaknya yang cuti sekolah bawa food panda. Pakcik ni sehari dapat RM50 jika habis jagungnya. Dalam seminggu dah 3 kali semua jagung kena rampas.”
Rata-rata netizen ini tidak berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan oleh pihak penguatkuasa sebelum ini. Perkongsian tersebut viral di media sosial dan telah mendapat perhatian daripada netizen yang turut sama bersimpati dengan nasib malang yang menimpa keluarga ini. Malah, mereka turut menghulurkan bantuan dari segi kewangan kepada peniaga ini.