Seorang ibu dikenali sebagai Amalina meluahkan rasa bersalah dan pilu selepas membaca berita kes penderaan bayi di sebuah taska yang didakwa sama tempat dia pernah menghantar anaknya. Menerusi Threads, dia berkata hatinya seolah-olah “disagat” apabila memikirkan kemungkinan bayinya turut pernah dilayan kasar di taska berkenaan di Desa Petaling.
Menurut Amalina, dia menghantar bayinya yang ketika itu baru berusia tiga bulan ke taska tersebut pada Februari lalu selepas tamat cuti bersalin, meskipun nalurinya memberi petanda kurang menyenangkan ketika sesi lawatan awal.

Bagaimanapun, selepas beberapa bulan, dia mula menyedari beberapa perkara mencurigakan termasuk rungutan berterusan daripada pihak taska yang memaklumkan bayinya sering menangis.
Memanglah bayi nangis, mak dia tak ada, baru tiga bulan pula. Tapi lepas dua bulan, saya nampak banyak tanda-tanda yang buat saya tak sedap hati.
Selain itu, bayinya didakwa kerap diambil lewat daripada jadual penukaran lampin, dengan keadaan najis sudah kering serta mata bayi sering kelihatan bengkak akibat terlalu lama menangis.
Terdahulu, seorang pengguna Threads @Liyanazulkifli memuat naik rakaman CCTV yang memaparkan seorang pengasuh bertindak kasar terhadap beberapa bayi, termasuk mendakwa anaknya yang berusia enam bulan turut menjadi mangsa sehingga mengalami kesan lebam.
Anak saya diperlakukan seperti anak patung. Ketika dibedung, dia dicampak, digolekkan dan dipijak. Anak saya baru enam bulan dan tidak tahu apa-apa.
Susulan penularan video berkenaan, Ketua Polis Daerah Cheras, Aidil Bolhassan memaklumkan seorang pengasuh wanita berusia 26 tahun telah ditahan pada 16 Disember bagi membantu siasatan kes penderaan bayi di sebuah taska di Desa Petaling oleh D11, JSJ Kuala Lumpur.
– KOSMO
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
