Melalui Harian Metro, pihak polis telah pun membuka kertas siasatan susulan dakwaan seorang guru memarahi serta mengherdik seorang murid sekolah rendah selepas tular kejadian tersebut di media sosial.
Difahamkan, polis menjalankan siasatan terhadap kedua-dua pihak iaitu guru yang tular dalam video tersebut dan juga keluarga murid berkenaan yang didakwa menjadi mangsa untuk memastikan kebenaran berpihak kepada yang benar.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, guru berusia 40 tahun itu telah membuat laporan kepada pihak polis bagi menafikan pembabitan dalam kejadian itu.
Wanita itu yang juga guru dari sebuah sekolah di Kajang menafikan pembabitan beliau dalam kejadian yang berlaku serta meminta siasatan lanjut dijalankan untuk mendapatkan kebenaran.
Malah, sehingga kini masih tiada sebarang laporan polis yang dibuat oleh pihak ibu bapa murid berkenaan.
Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang mana jika disabitkan dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun atau kedua-duanya.