Polis kini sedang memburu dua penjenayah kerana memecah masuk sebuah sekolah rendah agama swasta di Bukit Jelutong, Shah Alam antara jam 10.40 hingga 11.30 malam pada 10 Mei lalu.
Rakaman CCTV ketika mereka melakukan jenayah itu tular di media sosial memaparkan seorang lelaki berkopiah manakala seorang lagi memakai topi berwarna hitam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, laporan polis telah dibuat oleh timbalan pengarah sekolah itu kira-kira jam 3.09 petang sehari selepas kejadian itu berlaku.
Menurut laporan polis tersebut, dua suspek telah memecah masuk menerusi pintu belakang bangunan sekolah terbabit dan pihak sekolah mendapati RM100 yang disimpan di dalam peti wang tunai dan RM1,500 di dalam laci telah hilang.
Seorang daripada anak pemilik sekolah swasta berkenaan turut mendedahkan premis terbabit sudah tiga kali dipecah masuk dipercayai oleh individu sama.
Polis sedang berusaha keras untuk mengesan dan menangkap suspek pada kadar segera. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mohamad Hanafi di talian 010-3727932.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 kanun keseksaan yang membawa hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 14 tahun dan bagi kesalahan kedua juga dikenakan denda atau sebat, sekiranya disabitkan kesalahan.
View this post on Instagram
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.