Tular di media sosial sebuah video memaparkan seorang kanak-kanak dihempap penghadang jemaah di sebuah masjid, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik di Facebook itu dipercayai berlaku pada 26 Januari lalu sekitar jam 6.22 petang. Menerusi video berkenaan, penghadang yang memisahkan ruang jemaah lelaki dan wanita dilihat tumbang sebelum menghempap seorang kanak-kanak yang berada di kawasan tersebut, menyebabkan mangsa kelihatan lemah dan tidak bermaya.
Susulan penularan rakaman itu, timbul khabar angin mendakwa kanak-kanak berkenaan meninggal dunia akibat kejadian tersebut, sekali gus mencetuskan kebimbangan ramai.
Bagaimanapun, ibu kepada kanak-kanak terbabit tampil memberikan penjelasan dan menafikan dakwaan berkenaan. Menurutnya, anaknya tidak meninggal dunia, sebaliknya berada dalam keadaan selamat dan kini sudah kembali aktif seperti biasa.
Wanita itu memaklumkan bahawa insiden tersebut telah diselesaikan secara baik antara keluarga yang terlibat dan tidak sepatutnya diperbesarkan apatah lagi dijadikan bahan spekulasi. Namun, apa yang paling menyentuh perasaannya adalah apabila video kejadian tersebut terus disebarkan tanpa kawalan sehingga mengundang pelbagai komen keterlaluan.

“Sakit hati seorang ibu bila tengok anak jatuh macam itu. Bukan sebab marah video itu tular, tapi sebab tak sanggup tengok keadaan anak sendiri,” luahnya.
Dalam masa sama, ibu berkenaan turut menafikan dakwaan kononnya anaknya ke masjid seorang diri. Jelasnya, kanak-kanak itu berada di bawah jagaan datuknya ketika kejadian berlaku.
Tambahnya lagi, khabar angin palsu yang mendakwa anaknya meninggal dunia amat menyakitkan hati dan memberi kesan emosi kepada seluruh keluarga.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
