Atlet renang dari Itali, Thomas Ceccon yang memenangi emas dalam acara 100m kuak lentang Olimpik 2024 menjadi bualan hangat selepas dia dilihat lena tidur di taman Perkampungan Olimpik.
Menerusi video yang dimuat naik oleh rakan atlet, Ceccon dilihat nyenyak meskipun hanya beralaskan tuala putih di sisi sebuah kerusi taman.
Difahamkan, sebelum ini Ceccon pernah menyuarakan secara terbuka tentang penginapan yang disediakan di Perkampungan Olimpik di mana dia berkata bilik disediakan penganjur terlalu panas.
Tiada penghawa dingin, panas, makanannya teruk. Ramai atlet berpindah atas sebab ini. Kami bukan sengaja beri alasan, tetapi ini realiti yang mungkin tidak semua orang tahu.
Tambah Ceccon, dia mahu berehat kerana keletihan namun mengalami kesukaran untuk tidur di Perkampungan Olimpik kerana kepanasan dan bunyi bising.
Bukan hanya Ceccon, bekas perenang Olimpik, James Magnussen juga turut mengkritik Perkampungan Sukan di Paris yang dikatakan terlalu ‘mesra alam’ dan ia memberi kesan serta menyukarkan atlet untuk lakukan yang terbaik apatah lagi memecah rekod dunia.
Selain katil kadbod membuatkan tidur terganggu, Magnussen juga berkata pemakanan vegetarian disediakan untuk atlet juga menjejaskan persembahan mereka di temasya sukan itu.