Exco Agama Islam, , Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni memaklumkan bahawa Imam yang terlibat dalam insiden menghukum seorang remaja yang mencuri wang tabung masjid dengan cara dimandikan jenazah, telah meletakkan jawatannya, lapor Free Malaysia Today.
Maklum Zawawi, Imam berkenaan telah diminta untuk melepaskan tugasnya setelah dia diberitahu oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkenaan perkara itu.
Tampil mengulas insiden tersebut, Zawawi berkata tiada sesiapa mempunyai hak untuk mengambil tindakan atau menjatuhkan hukuman di tangan sendiri.
Imam tidak boleh menghukum seseorang sebelum siasatan dijalankan, sepatutnya kita harus memberikan kenyataan kepada polis dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa.
Kewajipan imam adalah memberi nasihat dan bimbingan kepada individu yang bermasalah dan tidak menghukum.
Tambahnya, kejadian seperti itu bukan sahaja menjatuhkan maruah remaja terbabit malah dapat memberi persepsi buruk tentang sikap pengurusan institusi masjid.
Terdahulu, media melaporkan mengenai sebuah video yang tular memaparkan seorang remaja dihukum mandi seperti jenazah akibat cuba mencuri tabung masjid.
Remaja berkenaan telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman penjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang, semalam.