Penyanyi Baby Shima akhirnya tampil memberi penjelasan setelah tular foto yang didakwa mirip dirinya bersama seorang lelaki di pusat hiburan di ibu kota.
Jelas Shima, wanita tersebut adalah dirinya namun ada salah faham yang timbul mengenai foto yang seakan-akan sedang bercumbu itu.
Shima membuat penjelasan tersebut di laman Instagram miliknya di mana dia kelihatan sedih dan turut menangis teresak-esak ketika bercakap mengenai isu tersebut.
Katanya, gambar tersebut telah sengaja dimuat naik individu tidak bertanggungjawab dengan tujuan untuk memburukkan namanya.
Terlebih dahulu saya nak minta maaf. Shima jelaskan dekat sini, gambar itu bertujuan untuk memburukkan nama, menjatuhkan dan memalukan Shima supaya orang lebih benci dekat Shima.
Dia dalam pada itu memohon maaf mengenai gambar yang tersebar itu dan memaklumkan foto itu diambil sewaktu penggambaran muzik video terbaharunya yang berjudul Lalai.
Penyanyi jelita ini turut menafikan dakwaan dia cuba untuk membuat gimik bagi mempromosikan lagu terbaharunya seperti yang diperkatakan netizen di media sosial.
Shima juga menzahirkan perasaan sedih dan terluka apabila membaca komen-komen netizen yang tidak mengetahui pucuk pangkal perkara sebenarnya yang terjadi.
Terdahulu, tular di media sosial apabila foto Shima seperti sedang mencium seorang lelaki yang sedang memegang gelas minuman.
Shima sebelum ini ada meluahkan rasa tertekan kerana sering dicemuh dan dibenci oleh ramai orang tanpa sebab yang kukuh sehinggakan menjadi punca dia kemurungan.