Peminat badminton tanah air serta seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita yang tular di media sosial tentang jaguh badminton nombor satu negara, Dato’ Lee Chong Wei dikatakan menghidap kanser hidung tahap tiga.
Pada bulan Julai lalu, Chong Wei menjalani rawatan selama dua bulan di Taiwan untuk masalah berkaitan penafasan yang menyebabkan dia terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Nanjing serta Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan lalu.
Setakat ini, tiada sesiapa dari pihak Chong Wei mengeluarkan kenyataan berkaitan berita yang tular ini. Malah tiada apa-apa status atau update di media sosial rasminya.
Akan pulang ke Malaysia 2 minggu lagi
Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai memberitahu, Chong Wei akan pulang ke tanah air dalam tempoh dua minggu lagi selepas menjalani rawatan di luar negara kerana mengalami masalah pernafasan.
Tempoh rawatan di sana dijangka tamat dalam masa seminggu lagi dan Chong Wei menunjukkan perkembangan yang bagus setakat ini.

Sumber: Scmp
Chin Chai, yang tidak mendedahkan lokasi di mana Chong Wei berada bagaimanapun hanya berkata, proses rawatan pemain berusia 36 tahun itu berjalan baik selepas berkesempatan melawatnya baru-baru ini.
“Rawatannya dijangka selesai minggu depan. Seperti semua tahu, Chong Wei menjalani rawatan di luar negara dan dijangka pulang dalam tempoh dua minggu lagi.
“Dia masih perlu berehat selama sebulan sebaik kembali dan selepas itu doktor akan memantau serta memaklumkan sama ada dia boleh bermain semula.”
Kami berharap agar Dato’ Lee Chong Wei berada dalam keadaan yang selamat dan kuat, semoga kembali sihat dan beraksi untuk negara tercinta.
Sumber: Utusan Malaysia