Orang ramai boleh menukar cip MyKad yang rosak secara percuma di semua kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh negara bermula 23 September hingga 7 Oktober 2025.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kerajaan menanggung sepenuhnya kos berjumlah RM714,660 bagi inisiatif ini termasuk perbelanjaan berkaitan.
Katanya dalam kenyataan, lapor Malaysia Gazette,
Kerajaan MADANI prihatin memastikan masalah teknikal pada MyKad tidak menjejaskan akses rakyat terhadap kemudahan kerajaan, termasuk subsidi bersasar BUDI95. Saya menyeru orang ramai sentiasa menjaga MyKad kerana ia bukan sekadar dokumen pengenalan, tetapi juga kunci pelbagai kemudahan kerajaan.
Menurut rekod JPN, sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad rosak diterima dari Januari hingga Ogos 2025. Trend tersebut menunjukkan peningkatan sejak tiga bulan terakhir: 32,819 permohonan pada Jun, 40,371 pada Julai, dan 45,411 pada Ogos. Bagi September pula, sehingga 21 haribulan, terdapat 22,858 permohonan direkodkan.
Purata permohonan bagi kategori cip rosak kini sekitar 43,000 sebulan, sekali gus menjadi asas kerajaan menawarkan penukaran percuma dalam tempoh dua minggu ini.