Primadona legenda, Noor Kumalasari, 69, mengakui bahawa hijab yang dipakainya sejak puluhan tahun lalu sudah menjadi sebahagian daripada identitinya. Menurutnya, tudung bukan lagi sekadar pelengkap penampilan malah sudah sebati seperti “darah daging” sendiri.
Noor berkata, dia tidak pernah berasa janggal mengenakan tudung dalam apa jua keadaan, termasuk ketika berada di rumah.

Tudung pada saya memang sudah sebati. Jadi macam ‘daging’ saya. Masak di dapur ke, dalam tandas ke, memang sentiasa pakai tudung.
Sampai suami pernah tegur, ‘Eh, awak ini dalam bilik tidur pun pakai tudung?’ Saya jawab, ‘Yakah? Saya dah biasa.’
Kadang saya tertidur pun masih pakai tudung, sampai suami pula yang tolong buka.
Menurut Noor, arwah ibunya juga pernah meminta dia membuka tudung ketika berada di rumah, namun Noor tetap memilih untuk memakainya kerana selesa dan sudah terbiasa.
Noor ditemui pada majlis pelancaran Nafesa dan koleksi The Alhambra Monogram di ibu kota baru-baru ini.
Adik kepada Anita Sarawak itu menegaskan bahawa kekuatan untuk istiqamah datang daripada niat yang betul bukan atas paksaan atau pengaruh sesiapa.
Ramai yang pakai dua tiga tahun kemudian buka. Itu pilihan masing-masing.
Pada saya, bila tudung dah sebati, memang tak boleh tinggal.
Pakai tudung mesti dari hati. Bukan sebab suami, bukan sebab kawan-kawan, bukan sebab suasana. Kalau kerana Allah, insya-Allah akan kekal sampai akhir hayat.
Mengimbau awal penghijrahan, Noor mendedahkan dia pernah menerima tawaran lakonan bernilai lebih RM200,000 untuk hampir 100 episod namun dengan syarat perlu membuka tudung.
Saya tak akan buka tudung untuk sesiapa. Saya buat ini kerana Allah, bukan kerana duit. Allah akan marah kalau saya buka.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
