Industri fesyen muslimah adalah sejenis industri yang berkembang pesat di Malaysia. Ramai membabitkan diri dalam industri ini kerana menyedari potensi pasaran untuk produk-produk fesyen muslimah yang sentiasa mendapat permintaan tinggi. Antaranya rekaan tudung atau hijab.
Ramai yang mengeluarkan tudung rekaan sendiri untuk dijual di pasaran namun begitu kemudiannya rekaan tersebut didapati akan dikeluarkan oleh pihak lain pula. Itu mungkin telah berlaku kepada pemilik tudung Fatheena yang merupakan tudung yang menampilkan corak peta dunia.
Pemilik tudung ini mendakwa rekaan tudung Fatheena yang diperbuat dari kain silk satin ini sudah dikeluarkan beberapa bulan lepas.




Bagaimanapun, jenama tudung milik Instafemes Asyallie Scarves dikatakan baru mengeluarkan edisi keluaran terhad tudung yang mempunyai 90% persamaan dengan tudung Fatheena. Asyallie Scarves menamakan tudung itu Galaxy of Hearts dan ia merupakan kerjasama dengan satu pengeluar tudung lain.


Pengguna bernama Syazana Zulkifli telah bertanya mengapa rekaan tudung tersebut sama dengan rekaan tudung Fatheena. Bagaimanapun, Syazana mendakwa dia telah disekat oleh pentadbir akaun Instagram Asyallie Scarves tanpa diberikan sebarang jawapan.
Malah, pentadbir akaun Instagram @fatheena yang masih belum memberi sebarang komen berkenaan tudung tersebut di akaun Instagram Asyalllie Scarves juga memberitahu telah disekat oleh akaun tersebut.
Pemilik tudung Fatheena mendakwa terkejut dengan kejadian itu kerana tudung rekaannya kini bukan lagi tudung rekaan edisi terhad.


@ffatinaa memberitahu menggunakan peta dunia dan warna pastel untuk rekaan tudung Fatheena ialah idea asalnya dan dia bekerjasama mengeluarkan tudung itu dengan seorang rakan.
Ada pendapat yang menyatakan apa yang berlaku bukan salah Asyallie sebaliknya ialah tanggungjawab pereka tudungnya. Asyallie hanya mengeluarkan tudung itu sebagaimana yang telah direka oleh perekanya.
Apa pun, rekaan serupa antara pengeluar tudung bukan perkara baru. Perselisihan mengenai isu yang sama pernah timbul antara jenama Naelofar Hijab dan Sugarscarf, serta tudung Hanis Zalikha dengan seorang peniaga tudung lain.
Apa yang boleh dikatakan, sekiranya rekaan tudung tidak didaftarkan sebagai rekaan industrial, pelbagai pengeluar boleh mengeluarkan rekaan tudung yang sama.
Oleh itu, ada baiknya sebarang jenis idea asal rekaan pakaian didaftarkan sebagai rekaan industrial supaya ia mudah dipertahankan menggunakan lunas undang-undang apabila ada pengeluar lain mengeluarkan rekaan yang sama. –amazingnara.com
Sumber: Syazana Zulkifli