Satu perkongsian di Threads mengundang perhatian ramai apabila seorang pengguna mendedahkan pengalaman pahitnya menjadi mangsa buli ketika zaman persekolahan.
Menurutnya, insiden berlaku ketika dia berpindah ke sekolah baharu semasa Tingkatan Empat, di mana dia menjadi mangsa buli sekumpulan pelajar, dipercayai seramai sembilan orang berdepan satu.
Tulisnya,
Zaman saya masuk sekolah baru tingkatan 4, ada yang cemburu… kepala saya kena tunjal, tudung kena rentap dicampak ke aras bawah sekolah.
Lebih mengejutkan, salah seorang individu yang didakwa terlibat kini bergelar pembaca berita televisyen yang dikenali ramai warga tempatan.
Individu itu mendakwa si pembuli tidak pernah meminta maaf malah terus menyebarkan kata-kata buruk sehingga menimbulkan kebencian terhadapnya sepanjang di sekolah. “Dia tak pernah minta maaf tapi dia bawa mulut sampai saya dibenci sampai habis SPM,” luahnya.
Di ruangan komen entri berkenaan, rata-rata pengguna cuba mencari identiti pembaca berita berkenaan namun tiada maklumat sahih dapat dipastikan setakat ini.