Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Abdul Kadir Sheikh Fadzir didakwa ‘melarikan diri’, menyebabkan usahawan terkenal Aliff Syukri terpaksa membuat hantaran di media sosial berhubung isu hutang berjumlah puluhan juta ringgit.
Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Aliff Syukri atau nama sebenarnya Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, 38, mengambil tindakan memuat naik hantaran di media sosial selepas usaha menghubungi Abdul Kadir selama berbulan-bulan malah bertahun-tahun gagal, selain mendakwa nombor telefonnya turut disekat.
“Cuba baca (sambil menunjukkan tangkap layar WhatsApp yang dilampirkan kepada mahkamah). Saya mohon sangat Tan Sri (Abdul Kadir), tolonglah saya, angkatlah telefon saya, WhatsApp saya itu tidak dibalas.
“Bukan sehari tuan (peguam), tuan tak keluarkan modal RM30 juta tuan boleh cakap macam ini (merujuk soalan kenapa kata Abdul Kadir lari). Saya bukanlah ahli politik, saya cuma berniaga. Kalau dia tak lari, takkanlah saya muat naik gambar tahu tak pak cik ini pergi mana?
“Kalau dia tidak lari, saya tidak akan sampai ke sini (kes mahkamah),” jawabnya ketika sesi soal balas oleh peguam, Ravichandaran Selliah yang mewakili plaintif, di hadapan Hakim Roslan Mat Nor.
Dalam prosiding tersebut, Aliff Syukri selaku defendan memaklumkan beliau telah menyerahkan wang berjumlah RM30 juta sebagai pelaburan kepada syarikat Buckingham ByThe-Sea Sdn Bhd (BBTS) di bawah Syarikat Pembangunan Utara Sdn Bhd (PUSB) yang dimiliki oleh Abdul Kadir, selepas menandatangani perjanjian usahasama.
Menurutnya, keputusan melabur dibuat selepas plaintif memberikan jaminan pulangan serta keselamatan pelaburan tersebut, walaupun projek BBTS berdepan kegagalan atau muflis.
Tambah Aliff Syukri, beliau turut melaksanakan tanggungjawab mempromosikan sebuah resort di Langkawi seperti yang dipersetujui dalam perjanjian tersebut.
Bagaimanapun, beliau mendakwa tidak menerima sebarang bayaran hasil pelaburan mahupun perkhidmatan promosi yang telah diberikan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
