Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Rafizi Ramli menarik perhatian ramai selepas berkongsi video mengenai sebuah ladang cili yang diusahakan di bawah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di tengah kota.
Menerusi hantaran di Facebook, Rafizi berkongsi bahawa ladang cili tersebut terletak di Pelangi Damansara itu dibangunkan menerusi program Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Tani (IPR INTAN).
Apa yang menarik, kawasan ladang ini merupakan tanah terbiar milik TNB yang kini dimanfaatkan untuk pertanian. Bagi musim pertama, hasil tuaian cili dijangka mencecah 40 tan dengan nilai sekitar RM280,000 – satu pencapaian yang cukup memberangsangkan dan memberi manfaat kepada para peserta program.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, cili yang dituai telah dipasarkan di Pasar Borong Selangor serta menerusi program Jualan Ehsan Rahmah.
Para peserta program ini terdiri daripada golongan B40 dan miskin sekitar Damansara. Mereka diberikan tanggungjawab mengusahakan ladang cili seluas 0.5 ekar setiap seorang, selain menerima gaji bulanan sebanyak RM2,100.
Program Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) dirangka dengan matlamat strategik untuk menyokong agenda keterjaminan makanan negara, melahirkan tenaga mahir dalam sektor pertanian moden, serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Melalui program ini, tanah terbiar seperti kawasan bawah pencawang TNB dimanfaatkan untuk pertanian produktif, sekaligus membuka peluang pekerjaan kepada golongan B40 dan miskin. Inisiatif ini bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan peserta, tetapi juga memastikan bekalan makanan yang lebih mampan dan berdaya saing.
Selain itu kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.