Presiden Amerika Syarikat (AS) iaitu Donald Trump telah menghidupkan semula perang perdagangan Amerika Syarikat dengan mengancam mengenakan tarik lebih tinggi terhadap lebih 12 buah negara dunia.
Namun, memetik laporan Kosmo! Online, Trump berkata beliau mungkin fleksibel pada tarikh akhir barunya iaitu Ogos ini bagi pelaksanaan tarif tersebut.
Trump menghantar surat kepada rakan dagangan termasuk sekutu utama AS, Jepun dan Korea Selatan dengan mengumumkan bahawa tarif yang digantungnya pada April lalu akan dilaksanakan lebih mendadak dalam tempoh tiga minggu. Tokyo dan Seoul akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan masing-masing.
Trump turut berkata, rancangan mengenakan tarif tinggi ke atas barangan dari beberapa negara, termasuk Malaysia adalah langkah yang dijangka beri kesan besar kepada perdagangan global.
AS akan mengenakan tarif 25 peratus ke atas barangan dari Tunisia, Malaysia dan Kazakhstan, manakala 30 peratus pula akan dikenakan ke atas Afrika Selatan dan Bosnia-Herzegovina.
Negara lain juga tidak terkecuali di mana Indonesia bakal dikenakan tarif 32 peratus, Serbia dan Bangladesh 35 peratus, Kemboja serta Thailand 36 peratus , dan paling tinggi, Laos dan Myanmar dikenakan tarif 40 peratus.
Namun begitu, Presiden berusia 79 tahun itu menegaskan bahawa masih ada ruang untuk perbincangan dan rundingan, negara-negara terlibat boleh memilih untuk membuat perjanjian dengan Washington bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk.
Setakat ini, kebanyakan negara yang menerima surat tersebut masih mengekalkan kadar tarif yang sama seperti yang diumumkan pada April lalu. Namun, terdapat beberapa pengecualian contohnya Laos dan Kemboja, yang dilaporkan menerima kadar tarif lebih rendah berbanding sebelum ini.