August 17th, 2010

azmilnoorkumalasari

Respek kami dengan Abang Azmil dan Kak Noorkumalasari nie. Menarik sungguh aktiviti yang mereka sedang lakukan setelah bersara dalam dunia seni nie. Kedua-duanya memang dah tekad taknak masukkan balik ke dalam dunia yang pernah mempopularkan mereka satu ketika dulu. Kini kedua-duanya sudah berada di jalan yang lebih elok.

Baca artikel ini sepenuhnya untuk membaca petikan daripada suratkhabar tentang transformasi hidup Azmil dan Noorkumalasari.

DUA insan seni ini pernah mewarnai persada seni perfileman negara dengan lakonan mantap serta keberkesanan aksi mereka dalam menyempurnakan apa sahaja watak yang dipertanggungjawabkan.

Azmil Mustapha dan Noorkumalasari, dua nama yang sudah tidak perlu diperkenalkan lagi malah, sehingga kini masih sebati dalam minda kebanyakan daripada kita yang membesar sealiran dengan zaman kegemilangan mereka mencipta nama di lapangan seni.

Suara Kekasih, Ali Setan dan Mekanik tentu sahaja antara filem yang berjaya menyerlahkan bakat lakonan pemilik nama sebenar Mohd. Azmil Datuk Mustapha yang kini menjangkau usia 58 tahun.

Begitu juga dengan wanita tinggi lampai yang suatu ketika dahulu bukan setakat lakonan malah, suara serta penampilannya cukup diminati oleh generasi muda ketika itu.

Itulah Noor Kumalasari Mohd. Taib yang kini berusia 54 tahun.

Antara filem lakonannya yang cukup meninggalkan kesan ialah Misteri Rumah Tua, Tiada Esok Bagimu, Adik Manja, Rahsia, Esok Untuk Siapa dan Mira Edora.

Lagu-lagu dendangannya pula yang begitu popular termasuklah Mata, Selamat Pagi Sayang, Aku Dan Perasaan, Hati Seorang Kekasih dan Pulang Di Hari Raya.

Bercakap tentang dua figura yang begitu diminati ramai itu, peredaran masa membawa mereka jauh berfikir mencari perubahan diri.

Satu-satunya perubahan besar, menuntut pengorbanan yang bukan kecil daripada mereka ialah melupakan terus bidang lakonan dan nyanyian.

Bukan setakat meninggalkan bidang seni semata-mata malah, penampilan mereka turut berubah demi mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.

Cukuplah populariti, perhatian serta publisiti yang dilimpahkan kepada mereka tatkala disimbahi gemerlapan cahaya glamor.
Baik Azmil mahupun Noorkumalasari, biarlah memori bergelar insan seni hanya tersimpan rapi dalam episod kehidupan mereka sedikit waktu dulu.

Kerana kini, mereka masing-masing cukup selesa mencorakkan warna-warni haluan sendiri bersama keluarga tercinta.

Bertemu pada majlis sidang akhbar Keep The Change di Hotel Pan Pacific, Kuala Lumpur baru-baru ini Azmil menerusi syarikatnya, AM Production Sdn. Bhd., dalam rangka mengadakan seminar Keep The Change Tour yang bakal diadakan selama dua hari bermula 31 Julai ini.

Dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur, seminar yang bakal mengupas tentang perubahan dalam diri ke arah positif dan bagaimana menguruskan kehidupan selepas perubahan itu. Selain Noorkumalasari seminar itu turut mengundang dua lagi artis terkenal iaitu Amy Search dan Aishah.

Dua ahli panel yang terlibat pada seminar yang mensasarkan kehadiran sebanyak 800 peserta itu ialah Dr. Syed Yamin Qadri dan Fuad Khan.

Selesa dengan kehidupan kini – Azmil

Barangkali ramai di kalangan peminat Azmil tertanya-tanya ke manakah menghilangnya pelakon karakter nakal lagi lucu, Ali Setan yang dipasangkan bersama heroinnya Asmidar, lakonan Ogy Ahmad Daud itu?.

Kali terakhir Azmil di layar perak ialah menerusi watak Pangeran Demak dalam filem Puteri Gunung Ledang.

“Saya selesa hidup begini. Merantau menimba ilmu di Syria bersama anak-anak. Di sana saya menjadi diri sendiri.

“Tidak kisah menunggang basikal ke mana-mana malah duduk di belakang lori bergerak ke sesuatu tempat pun tidak kisah kerana tiada siapa yang mengenali saya.

“Berbeza di Malaysia, apa sahaja yang dilakukan tentu akan menarik perhatian ramai kerana di sini saya dikenali,” kata Azmil yang cukup yakin dan gembira dengan perubahan hidupnya.

Rancang Azmil, tidak lama lagi dia ingin membuka sebuah sekolah agama bagi mengembangkan lagi ilmu-ilmu agama di kalangan generasi muda.

Namun, kata Azmil, biarlah projek seminar anjuran syarikatnya itu berjaya terlebih dahulu sebelum membuka langkah seterusnya bagi merealisasikan projek sekolahnya itu.

“Sekurang-kurangnya saya perlu mencari tanah seluas 15 ekar untuk memulakan projek itu. Bagaimanapun, semuanya masih baru dirancang,” katanya mengenai rancangan masa depan.

Kehidupan kini tak boleh dibeli – Noorkumalasari

Pelakon bermata besar ini, tatkala ditebak persoalan tantang kehidupannya kini menyifatkan tiada nilai yang dapat ‘membeli’ ketenangan hidup yang dikecapi olehnya ketika ini.

Jika dahulu masanya sering terkejar-kejar mengisi tuntutan jadual kerja dan persembahan yang begitu padat kini masanya selain mendekatkan diri kepada Tuhan, lebih terarah menguruskan perihal keluarga dan anak-anak.

“Cukuplah populariti dan publisiti yang saya terima dahulu. Tiada nilai yang dapat membeli kehidupan saya kini. Sangat tenang.

“Dalam hati sentiasa berzikir. Dahulu saya akui terkejar-kejar dengan kerja, layan peminat lagi tetapi bila pulang ke rumah, jadi seorang yang sepi.

“Sekarang Allah di mana-mana sahaja saya berada. Masuk masjid akan nampak nama Allah dahulu dan sentiasa melindungi saya dalam melakukan sesuatu.

“ Perubahan ini setiap orang akan ada cuma waktu dan kekuatan dalaman individu itu sendiri yang mampu membantu,” katanya.

Mengakui masih menerima tawaran lakonan, dengan watak-watak bertudung bukan sedikit dilambakkan kepadanya. Namun, Noor punya pendirian tersendiri untuk tidak lagi melibatkan diri dalam seni.

“Saya memang tidak minat lagi untuk berlakon. Saya seronok dengan hidup sebagai isteri dan ibu. Begitu juga dapat bersama anak-anak berjemaah di masjid setiap hari,” kata Noorkumalasari menterjemah kehidupannya kini.


Comments are closed.

Loading...