Tragedi Lemas Di Pantai Teluk Bidara: Ini Empat Kes Lemas Yang Pernah Berlaku Disebabkan Kemunculan Ombak Besar

Kehidupan

Tragedi Lemas Di Pantai Teluk Bidara: Ini Empat Kes Lemas Yang Pernah Berlaku Disebabkan Kemunculan Ombak Besar

Tahukah anda, kadar kematian berpunca daripada mati lemas adalah lebih tinggi daripada kes kematian disebabkan kebakaran? Perkara ini telah dimaklumkan sendiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid tahun lalu.

Pada tahun 2018, sebanyak 97 mangsa kematian disebabkan kebakaran dicatatkan berbanding 215 kes lemas. Setakat pada April 2019, sebanyak 100 kes lemas direkodkan. Ada pelbagai lokasi yang mempunyai sejarah kes lemas yang seringkali berlaku dan antaranya ialah di Pantai Teluk Bidara, Dungun, Terengganu.

Advertisement

Baru-baru ini, kes mati lemas melibatkan beberapa pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) sehingga mengakibatkan empat kematian. Untuk pengetahuan anda, sebelum ini sudah beberapa kes kematian diakibatkan lemas dicatatkan di kawasan yang sama.

23 Januari 2012

Kegembiraan empat sahabat menghabiskan cuti sempena Tahun Baru Cina dengan mandi manda di pantai berakhir dengan tragedi setelah seorang daripada mereka lemas di Pantai Teluk Bidara. Kejadian yang menimpa pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Pulau Serai ini telah menyebabkan salah seorang dari mereka meninggal dunia akibat lemas.

Mangsa pada waktu itu berusia 16 tahun, Mohd Alif Asyari Norhanuddin dipercayai terjerlus ke dalam pasir sebelum terkapai-kapai meminta pertolongan daripada rakannya di situ kira-kira pukul 1.30 petang.

Mangsa dan tiga lagi rakannya, Mohd Arif Aizat Azman, Abd Halim Zakaria, dan Amirul Abd Jalil kesemuanya berusia 16 tahun mengunjungi pantai berkenaan untuk mandi di pantai itu, sejam sebelum kejadian.

Sebaik melihat mangsa terkapai-kapai, salah seorang rakannya dikatakan berenang ke arah mangsa sebelum berusaha menariknya namun gagal berikutan arus yang agak deras.

Dia kemudian menjerit meminta bantuan daripada dua lagi rakannya sebelum mereka berusaha menarik dan berjaya menaikkan mangsa ke daratan. Mohd Alif Asyari kemudiannya dikejarkan ke Hospital Dungun dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2 petang ketika dalam perjalanan ke hospital.

Mangsa ketika itu masih bernafas dalam keadaan mulutnya berbuih dan beliau sempat diajar mengucap oleh rakannya itu manakala dua lagi rakannya meminta bantuan penduduk kampung di situ.

Tragedi tersebut berlaku di luar dugaan kerana ketika mereka sedang mandi di lokasi terbabit, keadaan laut tenang dan paras air hanya pada aras pinggangnya. Namun ketika sedang asyik mandi, paras laut dikatakan naik secara tiba-tiba sebelum mangsa diheret arus ombak yang kuat.

15 Disember 2013

Pelajar semester dua diploma kejuruteraan automatif di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) iaitu Muhammad Hanif Jainuri dan Ahmad Shukrie Eiman Romainor menjadi korban pantai selepas dibawa arus ombak ketika mandi bersama 11 lagi rakan sekolej.

Usaha mencari mangsa oleh pasukan penyelamat menemui jalan buntu susulan ombak besar dan arus kuat di pantai berdekatan gua itu namun ketibaan ibu mangsa di lokasi kejadian kemudiannya membantu usaha mencari selepas mayat mangsa timbul di permukaan air.

Menurut ibu mangsa, pada malam Jumaat, sebelum kejadian menimpa mangsa, dia bermimpi jatuh dalam gaung yang dalam berdekatan sebuah bukit, namun tidak mengesyaki apa-apa petanda buruk dan beranggapan ia hanya mainan tidur

Seorang lagi mangsa, Muammar Farhan Beig Shamsuri, 18, terselamat selepas berhempas pulas mengheret Shukrie ke tepi, namun Hanif yang turut lemas bersamanya gagal diselamatkan berikutan arus ombak terlalu deras.

5 Ogos 2016

Sekumpulan pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) mandi-manda di pantai berkenaan sebelum kejadian tidak diingini itu berlaku. Insiden malang itu menyebabkan salah seorang daripada mereka iaitu Mohammad Nawi Musa maut.

mangsa lemas

Manakala, seorang lagi rakan mangsa iaitu B Barathratnam dilaporkan kritikal dan di hantar ke unit kecemasan Hospital Dungun untuk rawatan lanjut. Salah seorang mangsa yang terselamat, Mohd Rolaimi Abdullah menceritakan detik cemas kejadian.

Semasa kejadian, Mohd Rolaimi pada waktu itu mengalami kekejangan pada kaki dan meminta bantuan rakannya. Pada waktu itu juga, ombak besar muncul secara tiba-tiba. Sehingga rakan-rakannya yang lain tenggelam timbul akibat arus ombak terlalu kuat.

17 Januari 2020

Pada Jumaat lalu, kegembiraan enam pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin bertukar tragedi selepas empat daripada mereka dilaporkan hilang di Pantai Teluk Bidara di sini.

Dalam kejadian 6.30 petang Jumaat lalu, Muhamad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin; Muhammad Zul Fahmi; Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan; dan Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee, kesemuanya berumur 21 tahun, dikatakan mandi di kawasan berbatu dan tergelincir, sebelum dipercayai ditarik ombak.

Mayat Zul Fahmi pertama ditemui tiga kilometer dari tempat kejadian. Mayat Mohamad Luqman Hakim Al Rashid ditemui kemudiannya, diikuti Mohamad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin. Kemudian, jenazah Mohammad Amir Izzudin Zulkiflee telah ditemui.

Tragedi Pantai Teluk Bidara

Sementara itu, penduduk Terengganu mengingatkan orang ramai terutamanya pelajar PSMZA dan Universiti Teknologi MARA, Dungun untuk tidak mandi di Teluk Bidara dan juga pantai di kawasan Dungun. Ini kerana sudah ramai yang lemas di situ dan semuanya tidak ditemui selamat malah ada mayat yang tidak ditemui sehingga sekarang.

Artikel berkaitan: “Pantai Sana Kuat Tarik Orang, Dah Banyak Kes, Tiada Yang Terselamat.”

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...