Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin, pemandu trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan tragik baru-baru ini, dilanda rasa bersalah dan sering menyalahkan dirinya atas kejadian tersebut.
Isterinya, Nor Ain Ahmad Hesam, 36, berkongsi detik memilukan itu ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Menurutnya, suaminya yang kini dirawat di Hospital Teluk Intan baru sahaja sedar sepenuhnya dan baru semalam mengetahui bahawa sembilan rakan setugasnya telah meninggal dunia dalam kemalangan tersebut.
Dia baru tahu semalam sembilan rakan dia dah meninggal dunia. Dia rasa bertanggungjawab sebab dia yang memandu. Dia beritahu saya dia rasa bersalah. Saya pujuk dia jangan salahkan diri. Dia siap minta maaf dengan kawan-kawan.
Semalam dia buat panggilan video dengan Nizam (Koperal Nizam Tarmizi) dan minta maaf. Dia juga jumpa Zulnaidi (Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli) dan minta maaf dengan dia juga.
Walaupun berduka, Nor Ain berkata suaminya menerima sokongan kuat daripada rakan-rakan setugas.
Tak ada siapa salahkan dia. Ramai kawan-kawan hubungi dan beri semangat. Mereka faham keadaan dan nasihatkan dia supaya jangan tanggung beban bersalah.
Nor Ain turut memaklumkan suaminya mengalami kecederaan di kepala dan beberapa tulang rusuk patah akibat kemalangan itu.
Mengimbas saat menerima berita kejadian, Nor Ain berkata dia hampir pengsan.
Hati saya hancur. Saya tak putus doa supaya tak ada perkara buruk berlaku. Saya hubungi ramai orang, terdesak nak tahu suami saya masih hidup atau tidak.
Pada Selasa lalu, sebuah trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam terlibat kemalangan dengan lori batu sekitar jam 8.50 pagi. Lapan anggota maut di tempat kejadian, seorang meninggal di hospital, dan sembilan lagi cedera.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.