Tiga maut manakala seorang kanak-kanak berada dalam keadaan kritikal selepas sebuah bot terbalik di perairan Pulau Perhentian, malam tadi.
3 mangsa terkorban
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu, berkata kejadian berlaku sekitar jam 10.30 malam dan mengorbankan S Arumugam, 40, anak perempuannya A Sarrvihka, 3, serta saudara mereka V Vennpani, 10.
Seramai 12 mangsa lain turut terlibat dalam insiden itu, termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang kini dalam keadaan kritikal dan telah dikejarkan ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.
Kejadian berlaku ketika ribut, hujan lebat dan laut bergelora menyebabkan bot yang membawa 15 penumpang berusia tiga hingga 40 tahun itu terbalik dan karam.
Difahamkan bot itu dinaiki tiga keluarga dari tempat penginapan mereka di Pulau Perhentian Besar ke Pulau Perhentian Kecil untuk melihat pertunjukan “fire show” petang kejadian.
Kata beliau, mereka mahu bergerak pulang sekitar jam 10 malam selepas tamat pertunjukan tersebut tetapi pada ketika itu cuaca ribut.
Pemandu bot menasihatkan supaya tidak balik ke tempat penginapan kerana cuaca tidak mengizinkan tetapi mereka mahu balik kerana sudah lewat malam.
Menurutnya, bot tersebut tiba-tiba terbalik dan karam ketika berada kira-kira 20 meter dari Pulau Perhentian Besar.
Ada orang kampung nampak kejadian segera menghulurkan bantuan dan berjaya menyelamatkan mangsa serta pemandu bot.
Pemandu bot positif dadah
Sementara itu, menurut laporan BERNAMA, Superintendan Azamuddin memaklumkan bahawa hasil siasatan mendapati kesemua penumpang bot tidak memakai jaket keselamatan semasa kejadian.
Pemandu bot yang berusia dalam lingkungan 20-an dan merupakan penduduk tempatan telah ditahan reman bagi membantu siasatan.
Lebih mengejutkan, pemandu bot itu turut didapati positif dadah dan mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.
Dalam pada itu, Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang memaklumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada jam 11.17 malam selepas menerima maklumat mengenai kejadian pada 10.55 malam.
Kesemua mangsa telah dibawa ke Jeti Pelancongan Besut menggunakan Bot Maritim Penggalang 45 sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Beliau turut memaklumkan bahawa siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian bot terbalik itu.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.