Sebelum ini, insiden tragis yang melibatkan seekor anak gajah mati selepas dilanggar dengan sebuah lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli telah mendapat perhatian ramai.
Dalam kejadian itu, ada pihak yang menyalahkan pemandu lori tersebut walaupun laporan polis memaklumkan tiada sebarang kecuaian yang berlaku dalam kemalangan tersebut.

gambar hiasan
Pihak polis menyatakan faktor kawasan berkabus dan sekitar laluan yang tiada pencahayaan lampu jalan menjadi punca kemalangan itu berlaku.
Pemandu lori kongsi kronologi kejadian
Susulan kejadian itu, seorang pempengaruh yang dikenali sebagai Kakak Raptor memaklumkan dia telah menerima DM daripada pemandu lori terbabit.
Pemandu lori itu menjelaskan kepadanya mengenai situasi sebenar yang berlaku pada waktu kejadian.
Menurut pemandu lori itu, pada jam 2 pagi ketika kejadian, dia sedang mengambil alih tugas memandu daripada rakannya dan melalui kawasan berbukit yang berkabus.
Dia menjelaskan bahawa selepas melalui satu selekoh, dia ternampak seekor gajah di sebelah kanan jalan sedang memakan rumput.
Pada masa itu, dia sudah memperlahankan kenderaannya dan mengambil langkah berjaga-jaga sambil memerhati pergerakan gajah tersebut.
Saya dah nampak seekor gajah besar di kanan jalan. Saya pun kurangkan kelajuan saya tanpa pijak pedal minyak tapi kaki masih di atas brek sambil lori masih bergerak dengan kelajuan 30/40km.
Saya perhatikan gajah itu berdiri tenang, tak nampak tanda agresif.
Namun, keadaan berubah dengan pantas apabila seekor anak gajah tiba-tiba meluru keluar dari sebelah kiri jalan, mengejutkan pemandu dan menyebabkan pelanggaran berlaku.
Menurut pemandu lori itu, dia cuba memusingkan stereng ke kanan untuk mengelak, tetapi jarak terlalu dekat sehingga anak gajah tersebut tetap terlanggar.
Akibat pelanggaran itu, lori mengalami pelbagai kerosakan, termasuk masalah pada brek dan gear.
Dia turut menjelaskan bahawa dia dan rakannya berasa tidak tenteram serta bingung kerana kejadian seumpama ini adalah pertama kali berlaku sepanjang tempoh bertugas sebagai pemandu lori.
Pemandu lori mohon maaf
Pemandu lori tersebut juga meluahkan rasa kesal dan memohon maaf atas kejadian tidak disengajakan itu.