Bapa saudara kepada dua remaja yang kehilangan enam ahli keluarganya akibat kemalangan hampir dua bulan lalu bersuara menegur pihak yang datang menziarahi Rahman, 19, dan adiknya, Dollah, 15.
Menerusi satu hantaran di TikTok, Mohd Hairul, 54, yang merupakan penjaga dua beradik itu selepas kemalangan tersebut memberi teguran terhadap segelintir tetamu yang menimbulkan rasa kurang senang.
Datanglah ziarah. Pak long alu alukan cuma janganlah paksa Dollah buat itu buat ini. Macam kurang sesuai. Berbuallah.
@kay.rule7♬ Jazallohu Anna – Mudrika bg
Difahamkan, sebelum ini tular rakaman di TikTok mempamerkan Dollah yang disuruh melakukan tarian popular ‘chicken dance’ oleh tetamu yang menziarahinya.
Bagaimanapun, rakaman berkenaan sudah dipadam oleh akaun TikTok sumber asal tetapi disebabkan video itu pihak keluarga meluahkan rasa tidak selesa namun katanya mereka menyambut baik kedatangan orang ramai yang berniat untuk ziarah.
Menerusi ruangan komen, ramai yang menyelar tindakan segelintir tetamu yang tidak menghormati dua beradik dan keluarga Mohd Hairul sebagai tuan rumah.
Malah, ada yang berpendapat sesetengah pihak hadir bukanlah mahu periksa keadaan Rahman dan Dollah tetapi untuk content semata-mata.
Dalam pada itu, beberapa individu berpendapat Dollah memerlukan masa untuk dirinya sendiri agar dapat sembuh dan perlu rehat daripada menerima tetamu.