Pengacara dan penyampai radio, Elly Mazlein menafikan dakwaan kononnya dia membuat keputusan untuk menarik diri daripada menyertai program anugerah televisyen kerana terasa hati dengan komen netizen.
Menurut Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, keputusan itu sebenarnya sudah lama difikirkan dan tidak ada kena-mengena dengan kritikan yang diterimanya.
Sebenarnya, kalau diikutkan, sejak daripada tahun lepas lagi saya sudah mahu buat keputusan ini. Saya pernah menyuarakan tapi ada pihak yang minta saya jangan buat begitu.
Pada tahun ini, saya nekad untuk mengundurkan diri daripada sebarang pertandingan anugerah. Saya lebih memilih untuk menjadi pemenang di hati peminat. Saya harap semua pihak dapat menghormati keputusan saya ini.
Mengulas lanjut, Elly menegaskan bahawa usianya yang semakin meningkat membuatkan dia tidak wajar terlalu memikirkan komen negatif netizen.
Saya kini sudah pun meningkat usia. Bukan muda lagi. Macam terlalu kebudak-budakkan pula untuk saya berkecil hati dengan kata-kata individu tersebut.
Takkanlah disebabkan komen ‘Berkempen ke?’ saya nak koyak. Macam sedih sangat pula hidup saya ini. Saya memang tidak berkecil hati.
Elly berkata, situasi itu secara tidak langsung membantu orang ramai lebih jelas mengenai keputusannya untuk tidak lagi menyertai mana-mana program anugerah.
Dalam masa sama, Elly yang mesra disapa Kak Lina Pom Pom turut menyatakan bahawa dia mahu memberi peluang kepada selebriti lain pula untuk merasai pengalaman memenangi anugerah.
Terdahulu, Elly mengejutkan ramai apabila mengumumkan pengundurannya daripada semua program anugerah menerusi satu hantaran di Instagram.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.