Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat bercadang untuk melaksanakan kerja dari rumah (work from home) serta Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) semasa Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadual berlangsung pada Mei dan Oktober akan datang dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Memetik laporan Berita Harian, cadangan ini timbul susulan kesulitan dan kekangan yang dialami oleh orang ramai, khususnya di Kuala Lumpur dan Putrajaya akibat penutupan jalan semasa lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping, ke Malaysia baru-baru ini.
Saya ingin mencadangkan kepada Kabinet supaya kakitangan jabatan yang berkenaan boleh bekerja dari rumah, dan sekolah pula boleh menjalankan PdPR untuk mengurangkan kesesakan serta kesulitan dihadapi rakyat, terutamanya di Lembah Klang dan Kuala Lumpur.
Beliau turut memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan penutupan jalan sepanjang lawatan Presiden Xi.
Terdahulu, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir di lapangan terbang untuk mengucapkan selamat jalan kepada Presiden Xi dan delegasinya yang bertolak ke Kemboja selepas selesai menjalani lawatan negara selama tiga hari di Malaysia.
Beberapa laluan utama di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya telah ditutup sepenuhnya atau dilencongkan secara berperingkat dari 15 hingga 17 April bagi memberi laluan kepada pergerakan rasmi sempena lawatan tersebut.
Walaupun langkah penutupan jalan ini diambil bagi memastikan kelancaran logistik dan keselamatan, serta telah dimaklumkan lebih awal, ia tetap mengundang rungutan dalam kalangan pengguna jalan raya yang terperangkap dalam kesesakan teruk.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.