Baru-baru ini tular di laman sosial apabila TM mempromosikan Pakej Broadband Lite 1Mbps serendah RM38 sebulan. Penawaran pakej berkenaan telah membuat rata-rata netizen berang dengan apa yang diiklankan.
Wakil pihak Telekom Malaysia (TM) memaklumkan pakej itu bukannya sesuatu yang baru dan ia telah diperkenalkan sejak tahun 2015.
Pakej tersebut ditawarkan kepada pengguna ringan atau mereka yang jarang menggunakan internet dalam kehidupan seharian. Walau bagaimanapun, melihat kepada kawasan yang ditawarkan dengan sokongan fiber atau pakej unifi, pelan ini akan ditamatkan secara berperingkat.
Walaupun TM telah memaklumkan akan perkara itu, namun rata-rata netizen masih belum berpuas hati dan mereka mempersoalkan bahawa pakej penawaran tersebut sudah tidak relevan.
Sementara itu, pihak TM memohon maaf atas kekeliruan yang terjadi dan mereka dikatakan dalam proses menyemak kembali penawaran dalam memenuhi permintaan pelanggan serta pasaran.