Mengumumkan perkahwinannya dibatalkan pada saat akhir, Fara Fauzana cuba untuk kekal tabah dan mengelak untuk menjelaskan punca ia dibatalkan. Fara hanya berkongsi keputusan tersebut dibuat kerana beberapa alasan peribadi.
Namun, beliau akui senyuman hanya terukir di bibir tetapi kedukaan tetap terasa didalam hatinya. Walaubagaimanapun, Fara cuba sedaya upaya untuk bangkit dan meneruskan kehidupannya.
Saya cuma nak orang tahu adalah sesuatu yang normal untuk kita berasa sedih. Kalau tiada rasa sedih, maknanya kita bukan seorang manusia atau seseorang yang tidak berhati perut. Namun begitu saya cuba untuk mengatasi perasaan itu dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Saya juga masih seperti dulu kerana tidak boleh berterusan hidup dalam keadaan negatif.
Keputusan yang saya buat itu bukanlah kerana mahu menunjukkan contoh yang baik kepada sesiapa. Cuma nak beritahu tidak salah kita buat keputusan yang boleh menggembirakan kita serta masa depan yang lebih bermakna.
Mungkin pada sesetengah orang, mereka tidak mampu untuk menerima hakikat apatah lagi ketika memikirkan kata-kata negatif daripada orang ramai. Buat Fara, sebagai seorang manusia kita kena bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku.
Diakui insiden ini sesuatu yang amat besar pernah berlaku dalam hidup saya. Begitupun ia tidak bermakna saya kena berpura-pura. Tidak salah jika saya tunjukkan yang kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan, lupakan apa yang berlaku dan teruskan kehidupan seperti biasa.
Memang berat untuk kita terus melangkah dan meneruskan hidup jika selalu terkenangkan kisah duka yang berlaku. Redha lah dengan ketentuan takdir dan percayalah setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya tersendiri. Mungkin Allah SWT ingin memberikan sesuatu yang lebih baik buat kita pada masa hadapan.