Seorang pelakon wanita bersama suaminya sekali lagi ditahan polis bagi membantu siasatan berkaitan kes penipuan pelaburan yang didakwa melibatkan urusan penjualan lembu kepada orang ramai.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kedua-dua suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan lanjut.
Menurut beliau, tangkapan tersebut dibuat susulan siasatan terhadap pelaburan yang ditawarkan kepada orang ramai kononnya berkaitan penjualan lembu.
“Untuk makluman, pelakon dan suaminya telah ditangkap oleh BSJK IPD Dang Wangi berkaitan pelaburan dalam penjualan lembu.”
“Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan pasangan terbabit pernah ditahan bagi membantu siasatan kes penipuan melibatkan urusan penjualan tanah kurnia.

Selain itu, mereka juga disiasat dalam satu lagi kes penipuan berkaitan darjah kebesaran negeri yang kononnya menawarkan gelaran Datuk kepada individu tertentu.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim sebelum ini memaklumkan pihaknya menerima laporan daripada seorang pesara kerajaan pada 18 Disember lalu berhubung kes penipuan tersebut yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM23,000. – KOSMO ONLINE
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

