Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang dijalankan bermakna anda dan keluarga perlu mengehadkan pergerakan di luar rumah dan tetap berada di rumah. Tiada masalah untuk duduk di rumah dan menghabiskan masa dengan melakukan aktiviti kekeluargaan. Namun, tidak dinafikan ada sesetengah keluarga dengan bilangan ahli yang agak ramai risau akan penggunaan bil elektrik mereka mencanak naik ketika akhir bulan ini.
Pada hari kebiasaan, kebanyakan rumah tiada penghuni di waktu siang. Semua pergi bekerja dan kanak-kanak bersekolah atau berada di pusat asuhan. Hanya pada waktu malam sahaja rumah akan menjadi sedikit riuh.
Apabila sudah berada di rumah untuk tempoh masa yang agak lama, sudah tentu semua orang pastinya akan menggunakan tenaga elektrik dalam jumlah yang lebih dari kebiasaan. Kegunaan elektrik untuk mengecas telefon bimbit, menggunakan komputer untuk bermain permainan dalam talian, menghidupkan penyaman udara dan menggunakan perkakas elektrik yang lain mampu mempengaruhi bil elektrik anda nanti.
Jangan risau, ikuti tips mudah ini agar anda tidak terkejut menerima jumlah bil elektrik yang dikenakan sepanjang tempoh PKP. Jika anda tahu bagaimana cara untuk menjimatkan elektrik ketika berada di rumah, bil elektrik anda tidak akan melambung tinggi.
Tips jimat penggunaan elektrik
Ada beberapa cara yang anda semua boleh lakukan sekiranya ingin menggunakan barang elektrik di rumah:
- Gunakan barang elektrik dengan cara yang betul (pastikan anda memahami jumlah elektrik yang boleh digunakan untuk sesuatu barangan).
- Tetapkan suhu penghawa dingin antara 25-27 darjah Celsius sekiranya digunakan sepanjang hari.
- Elakkan membuka peti sejuk dengan kerap (bukan sahaja bil elektrik naik, berat badan anda juga bakal naik).
- Penggunaan televisyen dihadkan.
- Hadkan penggunaan penghawa dingin (Pasang ketika anda ingin tidur sahaja).
- Kurangkan penggunaan cerek eletrik untuk memanaskan air (simpan air panas di dalam termos).
- Tidak perlu membuka lampu di waktu siang, nikmati cahaya matahari yang masuk ke rumah anda.
- Pastikan menutup suis barang elektrik yang tidak digunakan (pengecas telefon, komputer riba, televisyen, mesin basuh, microwave dan sebagainya).
- Cabut soket yang tidak digunakan.
Tips yang diberikan tadi bukan sahaja mampu menjimatkan bil elektrik anda, tetapi juga sebagai langkah keselamatan bagi mengurangkan pengaliran eletrik yang berlebihan. Kalau tidak, ianya mungkin boleh menyebabkan berlakunya litar pintas.
Keselamatan ketika di rumah juga harus dititik beratkan. Sementara berada di rumah, banyakkan aktiviti bersama keluarga yang tidak menggunakan barang elektrik seperti membaca bersama, mengubah suai susun atur perabot dan mungkin juga boleh mencipta laman mini di rumah anda.