Tip Rakam Gambar Makanan Yang ‘Insta Worthy’

Trending

Tip Rakam Gambar Makanan Yang ‘Insta Worthy’

Memang dah menjadi trend, sampai sahaja makanan perkara pertama yang dilakukan semestinya anda akan mengambil gambar terlebih dahulu sebelum makan. Lepas tu semestinya anda akan post media sosial terutamanya Instagram. Bukannya apa, hanya nak berkongsi kegembiraan atau restoran baru dan sedap yang anda pergi bersama kawan-kawan dan followers.

Tapi tak semua orang boleh hasilkan gambar makanan yang menarik sehingga boleh buat orang lain terliur. Buka jenis makanan, harga atau lokasi anda yang akan menentukan hasil gambar yang anda akan hasilkan.

Advertisement

Sebenarnya ada teknik yang perlu anda pelajari terlebih dahulu barulah gambar makanan yang akan dikongsi di sosial media nampak ‘eksklusif’ dan ‘mahal’ walaupun sebenarnya anda hanya makan di gerai tepi jalan.

Ini beberapa tips yang boleh anda cuba ketika mengambil gambar makanan supaya gambar yang dihasilkan menjadi Insta worthty.

Gunakan pencahayaan semula jadi

Pencahayaan merupakan elemen paling penting selain makanan itu sebagai subjek untuk mengambil gambar yang cantik.

Kalau anda menggunakan pencahayaan buatan daripada lampu misalnya, besar kemungkinan makanan itu kelihatan berwarna kekuningan.

Pencahayaan paling sesuai adalah di bawah sinar matahari yang lembut. Elak mengambil gambar di bawah cahaya matahari terik kerana ia akan menimbulkan terang dan bayang yang terlalu kuat.

Di dalam kawasan tertutup, pilih meja yang bersebelahan dengan tingkap untuk mendapatkan pencahayaan yang baik. Rancang komposisi gambar anda sebelum makanan sampai.

Kawal bayang

Sumber: Madelene Farin

Bayang juga boleh jadi faktor membantu mencantikkan gambar tetapi dalam masa yang sama juga boleh merosakkannya.

Ada ketika bayang yang gelap akan menonjolkan subjek, terutamanya apabila ia membantu memperlihatkan rupa dan bentuk makanan dengan lebih jelas. Namun kalau tak kena caranya, bayang boleh membuatkan subjek terlindung dan tidak jelas.

Seeloknya elaklah mengambil gambar makanan di bawah pencahayaan matahari terik. Sekiranya pencahayaan yang terlalu terang tidak dapat dielak, gunakan pemantul cahaya seperti kertas putih untuk mengurangkan intensiti kegelapan bayang. Caranya, letakkan pemantul pada sisi di mana bayang jatuh dan menghadap sumber cahaya.

Guna latar belakang ringkas

Sumber: The Green Creator

Apabila mengambil gambar makanan, latar belakang adalah sangat penting. Jika terlalu serabut atau terlalu beragam warnanya, ia akan menganggu perhatian penonton.

Gunakan latar belakang yang ringkas dan bersih untuk memaksimumkan emfasis pada makanan dalam gambar anda. Latar belakang yang neutral tak semestinya perlu kosong, tetapi ia perlu berperanan membantu menonjolkan subjek dan mencantikkan gambar anda.

Ada dua jenis latar belakang utama yang baik untuk fotografi makanan: latar belakang terang, latar belakang gelap.

Kedua-duanya bergantung kepada jenis makanan yang ingin dipaparkan. Jika makanan anda berwarna terang, ia sesuai dengan latar belakang terang. Begitu sebaliknya, makanan berwarna gelap sesuai dengan latar belakang gelap.

Bermain dengan warna

Warna memberikan impak besar kepada komposisi imej, mempengaruhi apa yang dirasakan oleh setiap mata yang melihat gambar anda.

Bermain dengan kontras warna makanan anda. Kuning dengan perang, hijau dengan merah, ikut kreativiti anda. Menggunakan warna-warna kontras mewujudkan imej yang dinamik, menonjol, dan menggoda serta merangsang emosi penonton.

Cari ‘angle’ terbaik

Mengambil gambar dari atas makanan memang selalu menjadi pilihan terbaik, lebih-lebih lagi apabila makanan itu disusun dengan baik.

‘Angle’ dari atas menampakkan keseluruhan butiran makanan termasuk pinggan, perkakasan kulteri dan objek lain. Ia juga cara mudah untuk membentuk komposisi yang seimbang, juga mengelak gangguan elemen lain yang menganggu.

Namun jika subjek adalah minuman atau kek yang berlapis-lapis, ‘angle’ yang lebih baik adalah dari sisi. Juga jangan dilupa, latar belakang neutral masih penting.

‘Angle’ ketiga yang boleh dipertimbangkan adalah pada sudut antara atas dengan mendatar atau ‘diagonal’. Ini dapat menampakkan makanan dan keseluruhan imej anda dari atas dan sisi pada masa yang sama.

Kalau tidak pasti untuk ambil gambar dari ‘angle’ mana, bereksperimen dan cuba dari pelbagai sudut berbeza.

Susun atur makanan anda dengan kemas

Cara anda menyusun makanan juga memberi kesan besar kepada gambar yang diambil. Komposisi adalah kunci kepada fotografi yang baik, jadi posisi setiap elemen dalam imej perlu diatur sebaiknya.

Bayangkan makanan yang bersepah dan meja yang berselerak. Siapa yang nak naik selera melihatnya?

Susunlah ikut kreativiti anda, dalam bentuk apa dan bagaimana cara sekalipun. Yang penting, cantik.

Kalau ada lelehan atau tumpahan, lap sehingga bersih. Melainkan ia membantu dalam menjadikan komposisi gambar anda menarik.

Beri ruang untuk subjek

Bila mengambil gambar makanan, beri ruang untuk subjek ‘bernafas’. Elakkan seluruh pinggan memenuhi keseluruhan ‘frame’.

Ada kalanya ‘close-up’ pada makanan itu baik dengan menampakkan butiran makanan dengan lebih dekat, tetapi tinggalkan sedikit ruang kosong tidak bersubjek supaya makanan anda lebih menonjol.

Bereksperimen dengan posisi subjek, sama ada ditengah-tengah atau lebih cantik di satu sisi dalam ‘frame’ itu. Ambil beberapa gambar makanan yang diletakkan di posisi berbeza, kemudian pilih yang paling seimbang komposisinya.

Elak daripada subjek memenuhi keseluruhan 'frame'

Hias meja anda

Untuk menjadikan gambar lebih cantik dan menarik, hias sekitar subjek anda dengan butiran-butiran kecil dan pastikan ia tidak mengganggu subjek utama.

Anda boleh gunakan rempah, dedaun, kekacang, buah-buahan atau bahan-bahan lain yang digunakan dalam masakan makanan anda sebagai hiasan. Selalunya bahan-bahan kering, tetapi bahan basah seperti ikan atau potongan daging, apa salahnya.

Perkakasan dapur atau meja makan seperti sudu, garfu, bekas lada sulah juga hiasan kecil di rumah anda juga sesuai untuk membantu mencantikkan gambar anda.

Anda boleh bereksperimentasi dengan tips yang diberikan ni, semoga dapat hasilkan gambar yang cantik dan dapat banyak like di Instagram.

Sumber: Awani

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...