Tindakan Tegas Diambil Promosi Buffet Ramadhan Tanpa Sijil Halal, Boleh Didenda RM200,000

Trending

Tindakan Tegas Diambil Promosi Buffet Ramadhan Tanpa Sijil Halal, Boleh Didenda RM200,000

JAKIM1Premis makanan dan hotel yang tidak memiliki sijil pengesahan halal tetapi mempromosi makanan yang bermaksud halal seperti ‘bufet Ramadan’ boleh didenda sehingga RM200,000.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha berkata penggunaan ungkapan yang membawa maksud halal dan lain-lain perkataan atau objek atau lambang Islam oleh pihak yang tidak memiliki sijil pengesahan halal adalah menyalahi Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Advertisement

“Sehubungan itu, Jakim menyarankan agar para peniaga yang berminat untuk mempromosikan juadah berbuka puasa di premis dan hotel mereka agar patuh kepada setiap garis panduan sedia ada dan undang-undang yang ditetapkan.

“JAKIM memandang serius perkara ini dan mengingatkan kepada pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk mematuhi piawaian Pensijilan Halal Malaysia dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, para peniaga digalakkan untuk merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam seperti JAKIM dan Jabatan Agama Islam negeri (JAIN) sebelum menggunakan ungkapan halal bagi mengelakkan permasalahan pada masa akan datang.

Othman berkata, JAKIM dan JAIN akan sentiasa menjalankan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan ke atas premis yang mempromosikan bufet Ramadan ini bagi memastikan makanan yang ditawarkan adalah ‘halalan toiyiban’.

“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang melakukan pelanggaran terhadap pematuhan piawaian pensijilan halal itu,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengguna atau syarikat serta organisasi yang ingin mengadakan majlis berbuka puasa agar bertindak bijak dengan memilih premis atau hotel yang telah memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Katanya, sekiranya berasa ragu-ragu dengan status halal produk yang disajikan, pengguna boleh menghubungi Bahagian Hab Halal JAKIM di talian 03-88925000/5001 selain boleh membuat semakan status halal di laman web JAKIM www.jakim.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar ‘MyJakim’.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...